darren

Oleh Muhammad Aiman

Pemilihan Darren Lok untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pada satu ketika mengundang kritikan ramai.

Pelbagai persoalan timbul mengenai kriteria yang dinilai pengendali Harimau Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee ketika menyenaraikan pemain kelahiran England itu selepas melihatnya beraksi hanya dalam satu perlawanan Liga Perdana.

Aksi hambar, longlai dan kurang meyakinkan ketika masuk sebagai pemain gantian pada perlawanan persahabatan menentang Singapura bulan lalu menjadikan pemain JDT II itu ibarat bahan jenaka di kalangan pemerhati bolasepak tempatan dan rata-ratanya berpendapat dia belum layak menyarung jersi kebangsaan.

Kesukaran penyerang tempatan mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing serta kegagalan penyerang-penyerang berprofil tinggi untuk menyerlah meletakkan Kim Swee dalam situasi tiada pilihan selain mengharapkan bekas pemain Eastbourne Borough itu akan terus menunjukkan perkembangan positif, apatah lagi dia tidak mempunyai seorang penyerang tulen.

Ahmad Hazwan Bakri yang disebut-sebut sebagai pilihan utama sendiri lebih banyak bermain di belakang penyerang bersama Selangor, justeru menyebabkan Kim Swee memanggil pula Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.

Kelibat Safee dan Norshahrul yang mencetus sensasi pada 2010 dijangka menjadi pertaruhan Kim Swee bagi mengemudi barisan depan, dan Darren dianggap sebagai antara tiga nama yang bakal digugurkan dari skuad terakhir 23 pemain ke Yangon.

Begitupun, Darren merubah skrip itu tepat pada waktunya, membalas kesabaran dan kepercayaan Kim Swee apabila tampil dengan kualiti permainan yang lebih baik ketika menentang Papua New Guinea, Isnin lalu.

Meskipun belum boleh disifatkan cemerlang, setidak-tidaknya dia berganding baik dengan Hazwan dan terlibat dalam gerakan terhasilnya kedua-dua jaringan Malaysia menerusi rembatan voli Hazwan pada minit ke-21 dan jaringan penalti Amri Yahyah di babak kedua.

Dengan pemain senior seperti Safee dan Norshahrul masih bergelut dengan prestasi dan mungkin lebih sesuai diturunkan sebagai pemain gantian, Darren berpotensi besar menjadi penggempur utama pasukan negara di Piala AFF Suzuki 2016.

Pemain berusia 25 tahun itu mengakui dia perlukan lebih banyak masa untuk membentuk keserasian bersama rakan sepasukan dan bermain dengan lebih yakin, namun menyatakan kesediaan jika diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan ketika aksi pembukaan menentang Kemboja. 

“Saya fikir boleh beraksi dengan lebih baik ketika pertemuan menentang PNG tempoh hari. Skuad ini mempunyai ramai pemain serba boleh dan berbakat, kesemua pemain ada kelebihan tersendiri sama ada pemain senior seperti Amri, Safee dan Norshahrul mahupun Hazwan. Jadi saya perlu bekerja keras. Jika diberi peluang, saya percaya akan tunjukkan prestasi lebih positif selepas ini.”

Selepas perlawanan menentang Kemboja pada Ahad, Malaysia akan berdepan Vietnam pada 23 November diikuti Myanmar pada 26 November dengan sasaran awal adalah untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

- Advertisement -