Chong Wei Feng yang terpaksa memerah kudrat untuk menentang bekas pemain kebangsaan berusia 34 tahun, K. Yogendran dalam satu perlawanan dramatik Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015.
Chong Wei Feng yang terpaksa memerah kudrat untuk menentang bekas pemain kebangsaan berusia 34 tahun, K. Yogendran dalam satu perlawanan dramatik Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015. Kredit Photo – 1Titan.com

Resorts World Genting Champions Challenge - Logo 240x276Juara bertahan, Kelab Badminton Kepong hanya beberapa detik sahaja untuk ditunjukkan jalan keluar dari Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015, namun magis pemenang pingat emas Sukan Sea 2015, Chong Wei Feng membantu pasukan itu mencatat kemenangan cukup dramatik ke atas Kelab Badminton Petaling Jaya dalam aksi menghiburkan di Arena of Stars.

Kedua-dua pasukan melangkah ke aksi terakhir antara Wei Feng dan bekas pemain kebangsaan berusia 34 tahun, K. Yogendran dengan kedudukan terikat 9-9.

Dengan Yogendran hanya selangkah sahaja untuk memastikan kemaraan pasukannya ke separuh akhir setelah mendahului 2-0 yang meletakkan Petaling Jaya mendahului 11-9, Wei Feng tampil menafikan hasrat pemain veteran itu mencatat kemenangan popular menerusi kebangkitan menakjubkan untuk menang 3-2 sekaligus membawa Kepong ke separuh akhir dengan keputusan 12-11.

“Agak terkejut juga dengan stamina dia (Yogendran). Saya tidak bermula dengan baik, masing-masing ada tekanan besar sebab ini aksi penentu dan Yogendran guna pengalaman dia untuk memerangkap saya. Saya dapat balik rentak sebenar dan lebih tenang, dapat kawal bulu tangkis dengan lebih baik di set ketiga, Yogendran pula nampak letih dan tidak dapat sesuaikan dengan intensiti permainan,” jelas Wei Feng.

Sementara itu, Yogendran yang beraksi dalam aksi kompetitif pertama selepas hampir setahun berkata, “Kita ketiadaan pemain utama yang ada komitmen lain. Apapun tanpa pemain utama kita dapat kutip 11 mata dan tewas dengan hanya satu mata, ia cukup menggembirakan.

“Apa yang saya terkejut, Wei Feng selaku juara Sukan Sea dan pemain kebangsaan bergelut untuk tewaskan saya yang sudah berusia 34 tahun dan satu tahun tidak beraksi, tidak berlatih dan tidak pernah terlibat mana-mana pertandingan kompetitif. Sebagai pemain kebangsaan, dia perlu lebih fokus kalau tidak apa beza antara kami bekas pemain dan pemain kebangsaan? Cuma, saya kagum kerana walaupun sudah ketinggalan 2-0, dia bangkit untuk tewaskan saya 3-2, dia ada semangat melawan tetapi maksud saya, dia tidak perlu bergelut seperti ini.”  

Kepong memulakan cabaran mempertahankan kejuaraan dengan nota positif apabila Wei Nan menundukkan pemain remaja meningkat naik, R.Satheistharan sebelum pemain perseorangan wanita utama kebangsaan, Tee Jing Yee mengetepikan tentangan hebat Yang Li Lian 3-2 untuk Kepong mendahului 6-3. 

Tanpa beberapa pemain utama seperti Nipitpon Puangpuapech, Woon Khe Wei dan Koo Kien Keat, Petaling Jaya kemudiannya tetap gah mengungguli dua acara beregu – beregu campuran menerusi Prajakta Sawant/Songpong Anugritayawon dan beregu lelaki menerusi Or Ching Chung/Tan Chung Man untuk mengikat kedudukan menjadi 9-9.

Kemenangan menyaksikan Kepong menempah pertemuan separuh akhir menentang Puchong United yang mara selepas mengetepikan Kelab Badminton Petaling dalam satu lagi aksi suku akhir. Finalis musim lalu, Muar City pula akan berdepan Ampang Jaya – kedua-dua aksi separuh akhir dijadual berlangsung pada Sabtu.       

- Advertisement -