
Malaysia meneruskan momentum kebangkitan pada Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 dengan meraih enam pingat emas pada Hari Ke-4, sekali gus mengukuhkan kedudukan kontinjen negara ke kelompok lima terbaik keseluruhan dalam kedudukan pingat keseluruhan. Selepas empat hari pertandingan, Malaysia kini di kedudukan kelima keseluruhan dengan 16 pingat emas, 15 perak dan 48 gangsa, mengatasi Filipina.
Sukan luncur ais artistik kembali dipertandingkan di Sukan SEA buat kali ketiga — selepas Kuala Lumpur 2017 dan Manila 2019 — dan Malaysia terus mengesahkan penguasaan dalam acara lelaki. Beraksi di Imperial World Samrong, Samut Prakan, Fang ZeZeng menyerlahkan persembahan luncur bebas yang tenang serta mantap dari segi teknikal, menggabungkan ketepatan atletik dan ekspresi artistik untuk mengumpul 157.22 mata. Beliau menewaskan pesaing terdekat dari Thailand, Aaron Kulvatunyou (137.98 mata), dan Paolo Borromeodari Filipina (128.39 mata).
Suasana kegembiraan menyelubungi kem kriket Malaysia apabila pasukan kriket T20 lelaki negara merangkul pingat emas selepas menewaskan seteru tradisi, Singapura, dengan enam wiket dalam perlawanan terakhir pusingan liga.
Dalam saingan judo, Amir Daniel Abdul Majeed mencipta kejutan apabila menjuarai kategori lelaki bawah 81kg, sekali gus menamatkan penantian panjang Malaysia untuk pingat emas Sukan SEA dalam acara tersebut.
Sukan olahraga di Stadium Nasional Suphachalasai pula terus menghadirkan kegembiraan apabila atlet lontar peluru, Jonah Chang Rigan, menamatkan kemarau 33 tahun pingat emas dalam acara itu. Atlet kelahiran Sarawak tersebut memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan lontaran sejauh 18.66 meter, mengatasi rekod Sukan SEA sebelum ini iaitu 18.14 meter.
Berita gembira dari Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, apabila trio wushu wanita negara — Mandy Cebelle, Sydney Chin dan Loh Ying Ting — memenangi pingat emas dalam acara duilian tanpa senjata dengan skor 9.633, menewaskan Indonesia (9.620) dan Filipina (9.590) dengan perbezaan tipis.
Di kolam renang, Khiew Hoe Yean menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam sukan renang pada temasya ini dengan kemenangan dalam acara 200 meter gaya bebas lelaki, mencatat masa 1:48.64. Atlet Vietnam, Van Nguyen Quoc Tra, meraih perak dengan 1:48.70, manakala rakan sepasukan Malaysia, Arvin Shaun Singh Chahal, membawa pulang gangsa dengan catatan 1:50.43.
Mankala di gelanggang badminton, beregu lelaki utama negara Aaron Chia/Soh Wooi Yik dan pasangan beregu wanita nombor dua dunia Pearly Tan/Thinaah Muralitharan berjaya melangkah ke perlawanan akhir esok selepas mengharungi cabaran sengit di separuh akhir.
Di stadium olahraga, sensasi pecut Thailand Puripol Boonson sekali lagi mencuri tumpuan apabila meraih emas acara 200 meter lelaki dengan catatan 20.07 saat, sekali gus memecahkan rekod Sukan SEA miliknya sendiri iaitu 20.37 saat. Danish Iftikhar Muhammad Roslee, meraih pingat gangsa dengan catatan 20.73 saat, menambah koleksi pingat selepas kejayaannya dalam acara 100 meter sebelum ini.




























