mas.fiji

Oleh Muhammad Aiman

Skuad kebangsaan sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Fiji pada aksi terakhir Jelajah Oceania di Stadium Prince Charles Park yang berakhir sebentar tadi.

Malaysia mendahului pada minit ke-41 setelah penyerang veteran Johor Darul Takzim, Amri Yahyah merembat kencang hantaran S.Chanturu namun pasukan di ranking ke-186 dunia itu bangkit menyamakan kedudukan di babak kedua menerusi ayam tambatan, Roy Krishna.

Pengendali pasukan, Dato’ Ong Kim Swee menyifatkan kegagalan menyempurnakan deretan peluang terhidang menjadi antara punca Malaysia gagal dalam misi membawa pulang kemenangan namun tetap memberi kredit terhadap prestasi ditunjukkan pemainnya.

“Bukan mudah untuk bermain dalam suasana dan keadaan tidak sempurna seperti ini, dengan cuaca panas, keadaan padang yang teruk namun para pemain menunjukkan mentaliti positif membuktikan mereka boleh sesuaikan diri dan berikan yang terbaik dalam keadaaan sukar.

“Kita gagal manfaatkan peluang yang kita ada, dan ini sebab kita dibolosi. Dalam bolasepak jika anda tidak sempurnakan peluang pasukan lawan akan ambil kesempatan. Dan dalam perlawanan ini, saya perlu akui pemain nombor 9 mereka (Roy) yang bermain di A-League mempunyai teknik yang cukup bagus, dan jika pemain yang bagus seperti dia diberi satu atau dua peluang ini yang akan berlaku,” kata Kim Swee.

Perlawanan ini turut menyaksikan Kim Swee memberi peluang kepada pemain yang belum beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini, termasuk penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, serta penyerang muda S.Kumaahran yang masuk menggantikan Amri di separuh masa kedua.

“Untuk tiga perlawanan di sini saya berpeluang gunakan semua pemain. Memang objektif menang semua tiga perlawanan tidak kesampaian, tetapi keputusan satu seri, satu menang dan satu kalah beri saya peluang untuk melakukan analisa tentang keseluruhan pasukan dan individu tertentu sebelum kita panggil semula mereka pada September nanti.”

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini diaibkan pasukan ranking 193 dunia Papua New Guinea dengan kekalahan 0-2 pada 17 Jun lalu sebelum bangkit melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas New Caledonia (ranking 183 dunia).  

- Advertisement -