Kerajaan Malaysia membuat keputusan yang tepat apabila sah menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat ketika mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat, setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasinya.

Malah, ia ditambah dengan ketidakpastian impak ekonomi susulan penganjuran temasya itu.

KBS turut memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat, buat masa ini.

“Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu, yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) pada 5 Feb lepas.

“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta), dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada CGF di atas penawaran yang diberikan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Negeri Victoria di Australia yang sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, menarik diri pada Julai tahun lepas disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AU$2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AU$7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AU$380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac, 2026.

Berikutan itu CGF menawarkan suntikan dana ÂŁ100 juta (RM602 juta) kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada 1998 dan juga kepada negara anggota lain untuk menyelamatkan sukan empat tahunan itu.

Bukan sahaja Victoria, India juga tidak berminat untuk menjadi pengganti bagi edisi 2026 manakala wilayah Alberta di Kanada turut menarik diri daripada proses bidaan Sukan Komanwel 2030, seminggu selepas Victoria mengumumkan menarik diri.

Dari 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli CGF, hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia pernah menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

- Advertisement -