sea_games_2017

Oleh Ku Mohd Lufti

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melihat Malaysia mampu menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN (APG) 2017 jika ia diadakan serentak.

Kertas cadangan sudahpun dihantar dan dibentangkan kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF).

“Kita berharap agar mendapat respon positif daripada mereka (SEAGF dan APSF) dan perkara ini dijangka akan dimuktamadkan dalam bulan depan,” kata Khairy.

Malah, KBS sudahpun melakukan kajian menyeluruh tentang aspek aspek yang perlu untuk melaksanakan Kuala Lumpur 2017.

“Kita sudah buat kajian dari segi logistik, venue pertandingan, pemilihan jadual dan, pegawai teknikal dan sebagainya.

“Ia bukan digabungkan, masih dua temasya tetapi diadakan serentak sekali. Kedudukan pingat berasingan, hanya majlis perasmian pembukaan dan penutup sahaja dibuat bersama,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Khairy yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke 9 (MASOC), berkata keputusan berhubung penganjuran secara serentak dua acara terbesar di Asia Tenggara itu hanya dapat dimuktamadkan pada bulan depan.

- Advertisement -