goh-jin-wei

Oleh Muhammad Aiman

Masih banyak yang perlu dipelajari bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei  jika mahu terus menapak mencipta nama serta mengukuhkan potensinya sebagai bintang masa depan badminton Malaysia dan dunia.

Meskipun mengakui berpuas hati dengan komitmen dan perkembangan ditunjukkan pemain berusia 16 tahun itu, jurulatih Rony Agustinus berkata Jin Wei perlu lebih bijak menangani tekanan selain mempelbagaikan gaya permainan agar tidak mudah dibaca lawan.  

Jin Wei mengakhiri cabaran antarabangsanya tahun ini dengan kekalahan di suku akhir Terbuka Macau kepada juara remaja dunia baru, Chen Yufei dari China meskipun sebelum itu di pusingan pertama dia menyerlahkan potensi dengan mencatat kemenangan mengejut ke atas pilihan keempat, Hsu Ya Ching dari Taiwan.  

Justeru, menurut Rony, “Dia bermain tanpa tekanan apabila menentang pemain di ranking lebih tinggi, tetapi agak berhati-hati bila berdepan pemain yang lebih kurang sama potensi dengannya. Dia kelihatan tertekan dan kurang berkeyakinan ketika menentang Yufei.

“Mungkin ianya kerana dia masih terkesan dengan kekalahan di pusingan kelima kepada pemain itu di kejuaraan dunia (di Sepanyol) bulan lalu. Kita dapat lihat permainannya jauh berbeza berbanding ketika menewaskan Ya Ching, begitu bersemangat dan yakin. Ini adalah sesuatu yang perlu kami bekerjasama untuk atasi.

“Kita juga akan cuba untuk menerapkan kepelbagaian di dalam permainannya kerana ramai pemain sudah boleh membaca corak permainan Jin Wei memandangkan dia banyak mengambil bahagian di kejohanan antarabangsa tahun ini.”

Jin Wei, pemain di ranking ke-37 dunia, telah memenangi tiga gelaran tahun ini iaitu Terbuka Belgium, Terbuka Vietnam dan Siri Antarabangsa Orleans layak ke final Kejohanan Indonesia Masters.

Dia juga telah mencatat beberapa kemenangan ke atas pemain berprofil tinggi dan satu-satunya kekecewaan dalam tahun yang agak memberangsangkan buat Jin Wei adalah kegagalannya mempertahankan gelaran remaja dunia baru-baru ini. 

“Harapan sudah tentunya lebih tinggi ke atasnya tahun depan dan tekanan juga lebih besar, tetapi saya percaya Jin Wei mempunyai mindset yang betul untuk menanganinya,” kata Rony lagi.

Pusingan akhir Grand Prix Kebangsaan di Stadium Juara Bukit Kiara dari 8 – 11 Disember depan akan menjadi kejohanan terakhir Jin Wei bagi tahun ini dan dia bertekad mahu mengakhiri cabaran 2016 dengan mengenggam kejuaraan perseorangan wanita setelah tewas kepada Tee Jing Yi pada final tahun lalu.

- Advertisement -