Rakan Kongsi Liga Malaysia menganggap peningkatan agihan pendapatan kepada 14 pasukan Liga Super musim ini sebagai satu suntikan semangat untuk mereka berusaha mengejar kedudukan terbaik.

Malaysian Football League (MFL) kali pertama pada tahun ini memperkenalkan agihan pendapatan secara merit mengikut kedudukan teratas sehingga kelab yang berada di tempat ke-14 Liga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, mata yang diraih dalam setiap perlawanan selepas ini sangat berharga bukan sahaja untuk memberi kepuasan tetapi turut melibatkan jumlah nilai pendapatan yang bakal diperoleh pasukan.

Ini secara tidak langsung akan menambahkan lagi motivasi kepada barisan pemain untuk meletakkan sasaran lebih tinggi bagi menamatkan saingan liga di kedudukan terbaik.

“Saya rasa ini adalah motivasi yang besar kepada pasukan sebab sekarang setiap kelebihan tiga mata itu sangat penting.

“Setiap kedudukan dalam liga selepas ini akan menjadi semangat baharu kepada pasukan dan secara tidak langsung akan meningkatkan lagi hala tuju pasukan pada masa hadapan.

“Sebelum ni kita tahu apabila hari terakhir perlawanan, semuanya melibatkan maruah pasukan untuk mendapatkan kemenangan.

“Tetepi sekarang bukan hanya maruah, tapi setiap satu tangga kedudukan itu ada nilainya sendiri dan lagi tinggi kedudukan, lagi tinggilah nilai yang kita akan dapat”, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang pula percaya setiap perubahan akan ada cabaran sendiri terutamanya untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan selepas ini.

Tetapi, dengan peningkatan agihan kali ini pastinya akan memberikan daya saing yang lebih tinggi di pentas Liga Malaysia untuk memberikan persembahan yang terbaik.

“Bagi saya setiap pembaharuan itu pastinya akan datang dengan cabaran kerana pasukan yang bertanding perlu bersaing dengan lebih kuat.

“Sudah tentu, pasukan yang telah berbelanja lebih mempersiapkan pemain terbaik adalah bonus untuk mereka berbanding pasukan yang membuat pelaburan sedikit.

“Jadi dekat sini cabarannya adalah untuk mereka terus berusaha bagi mencabar pasukan-pasukan yang lebih hebat untuk memberikan persembahan yang mantap”, katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh pula melihat dengan kaedah agihan secara merit ini adalah telus dan jelas untuk semua kelab merasakan mereka bakal mendapat hak yang sepatutnya berdasarkan pencapaian masing-masing.

“Kaedah agihan pendapatan 2023 yang diperkenalkan oleh MFL kini dilihat sebagai satu berita positif buat kesemua kelab yang bertanding di saingan Liga Malaysia.

“Ianya adalah telus dan jelas untuk semua kelab merasa bahawa mereka akan dapat hak yang sepatutnya nanti.

“Selain itu, kaedah ini dilihat mampu meningkatkan persaingan dikalangan pasukan yang mana kita nampak perbezaan kedudukan liga walaupun hanya satu tangga bakal membezakan nilai yang mereka bakal perolehi,”katanya.

Sistem pengagihan kepada 14 kelab Liga Super 2023 ini bakal menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama musim lalu.

Agihan musim ini akan membolehkan enam kelab terbaik dalam liga memiliki peluang untuk membawa pulang lebih RM1 juta manakala pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada 2022.

- Advertisement -