Oleh Muhammad Aiman

Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa mencetus sensasi sekali lagi di Terbuka Singapura apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan yang sekaligus melayakkannya ke Kejohanan Olahraga Dunia di London yang akan berlangsung pada Ogos depan.

Nauraj melakukan lompatan setinggi 2.30 meter, satu sentimeter mengatasi rekod terdahulu, 2.29m miliknya sendiri yang direkodkan genap setahun lalu di kejohanan sama yang mana melayakkannya beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro, Brazil.

Pemenang pingat emas di Sukan Sea Myanmar 2013 dan Singapura 2015 itu bagaimanapun gagal dalam cubaannya melakukan lompatan pada ketinggian 2.33m. Kejayaan meraih emas di Singapura ini adalah kemenangan kedua buat Nauraj tahun ini setelah turut memenangi Grand Prix Canberra pada bulan lalu.

Seorang lagi atlet negara, Lee Hup Wei menambah ceria buat kem negara apabila berkesudahan di tempat kedua setelah melakukan lompatan setinggi 2.24m.

- Advertisement -