Perdebatan melibatkan penganjuran temasya sukan Olimpik Tokyo semakin rancak apabila Kanada sah menarik diri daripada mengambil bahagian di temasya itu.

Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Kanada menerusi kenyataan sebulat suara untuk tidak menghantar atlet mereka andai Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur masih dengan pendirian untuk mengekalkan tarikh penganjuran Olimpik edisi ke 32 iaitu bermula 24 Julai sementara sukan Paralimpik dijadual berlangsung pada 25 Ogos.

Kanada juga mahu sukan itu ditunda ke tahun berikutnya kerana pendirian mereka bukan sahaja keselamatan atlet, tetapi komuniti dunia susulan pandemik Covid-19 yang sedang mengancam nyawa manusia ketika ini.

Kanada berada di ranking ke 19 dunia dengan 1470 kes dilaporkan dan 20 kematian direkodkan setakat ini dan melakukan perintah berkurung termasuk menutup kesemua fasiliti sukan sekaligus memaksa atlet untuk mencari dan memikirkan idea alternatif bagi mengekalkan kecergasan.

Menurut Jawatankuasa Olimpik Kanada, bukan sahaja keselamatan atlet dipertaruhkan, tetapi keluarga dan komuniti Kanada yang berada diluar negara dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak ketika atlet melakukan persiapan juga akan terjejas.

Presiden IOC, Thomas Bach dijangka mengumumkan status penganjuran Olimpik Tokyo 2020 kira kira empat minggu samada mengekalkan tarikh asal atau sebaliknya selepas mengadakan perbincangan dengan Badan Eksekutif IOC.

Diawalnya, IOC memutuskan untuk mengekalkan tarikh asal, iaitu 24 Julai hingga 9 Ogos selepas mendengar dan mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh penganjur yang yakin mampu membendung dan mengambil langkah sewajarnya berhubung penularan Covid 19.

Namun, IOC tidak bercadang untuk membatalkan Sukan Olimpik Tokyo 2020. Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe juga menyatakan pihaknya akur jika temasya sukan terbesar dunia itu tidak berlaku mengikut perancangan asal.

Sejak Olimpik diperkenalkan pada 1896 di Athens, sukan ini hanya dibatalkan ketika Perang Dunia pada 1916, 1940 dan 1944 dan tiga temasya olimpik, 1976, 1980 dan 1984 pula berdepan boikot secara besar besaran.

Kanada meraih 4 pingat emas, 3 pingat perak dan 15 pingat gangsa ketika di Olimpik Rio 2016.

 

 

- Advertisement -