pdrm

Oleh Ku Mohd Lufti

Jurulatih pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Fauzi Pilus memberi bayangan akan melakukan perubahan kepada barisan utamanya selepas keputusan sampel B ujian doping ke atas salah seorang pemain pasukan itu diumumkan kelak.

Tidak mahu mengulas panjang tentang situasi itu, Fauzi hanya menanti keputusan sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut.

“Saya berharap keputusan ujian sampel B melibatkan pemain yang bersalah memihak kepada kami. Malah, kami juga menanti arahan daripada FAM. Mudah mudahan ia selesai dengan baik,” kata Fauzi.

Andai keputusan tidak memihak PDRM, Fauzi sudahpun punya perancangan untuk mencari pengganti menerusi perlawanan persahabatan yang telah dirancang.

Malah, beliau tidak menolak untuk membawa masuk pemain baru untuk memperkukuhkan lagi barisan pemain The Cops bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Kita akan menilai pemain pemain daripada Piala Presiden untuk diserap ke dalam skuad ini dan pada masa yang sama kita ada mengintai beberapa pemain daripada Liga Premier dan masih dalam proses perbincangan,” tambah Fauzi lagi.

Selepas tamat separuh musim Liga Super 2016, PDRM menghuni tangga ke tujuh, mengumpul 14 mata selepas 12 perlawanan.

Dalam saingan Piala Malaysia, PDRM diundi bersama sama Johor Darul Takzim (JDT), Perak dan PKNS FC dalam kumpulan C.

- Advertisement -