Iqbal Ali Kassim Ali

Oleh Muhammad Aiman

Melihat kepada keyakinan tinggi Persatuan Kriket Malaysia (MCA), pasukan negara seharusnya tidak berdepan masalah untuk menyapu bersih kesemua tiga pingat emas yang dipertandingkan menerusi sukan kriket di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Setiausaha Kehormat MCA, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berkata persiapan pasukan negara ketika ini berada di landasan tepat dengan pelbagai program latihan, perlawanan serta kejohanan telah diatur sebagai membantu merealisasikan hasrat mengungguli sukan kriket yang akan pertama kali dipertandingkan di temasya dwitahunan itu.

“Kita sudah menjanjikan tiga pingat emas dari kriket kepada Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin), dua menerusi pasukan lelaki (kategori One Day International dan T20) dan satu pasukan wanita (T20 sahaja). Pemain pun faham mengenai sasaran ini dan semangat mereka cukup menakjubkan.

“Saya yakin kita boleh capai sasaran tersebut memandangkan ketika ini kita di ranking 23 dunia dan merupakan pilihan di Asia Tenggara. Persiapan kita juga berjalan lancar, kita akan hadapi banyak perlawanan latihan serta menyertai beberapa kejohanan besar. Pemain juga akan dihantar ke luar negara untuk pendedahan.

“Dan jika tiada aral, kita bercadang membawa pakar dari luar negara bagi memberi kaunseling dan latihan berprestasi tinggi,” kata Mohammed Iqbal.

Perlawanan persahabatan terdekat yang akan diharungi sebagai menguji kekuatan pasukan, skuad lelaki negara dijadual berdepan Sri Lanka Army dari 25-27 Julai depan, sebelum menanti kunjungan pasukan di tangga ke-10 dunia Zimbabwe B-19 pada Ogos manakala pasukan wanita akan berdepan Zaheer Abbas Cricket Academy juga pada Ogos. 

Mengenai sesi latihan pasukan kebangsaan, Mohammed Iqbal menjelaskan ianya tidak terganggu meskipun pada bulan Ramadhan dengan kesemua pemain menunjukkan komitmen tinggi menjalani latihan pusat di Kinrara Oval, dengan fokus tertumpu kepada latihan fizikal.

Untuk rekod, ketika ini seramai 45 pemain terlibat dalam latihan pusat pasukan kebangsaan dan jumlah itu akan dikecilkan secara berperingkat sebelum senarai pemain terakhir yang akan membawa cabaran di KL 2017 dimuktamadkan.

- Advertisement -