Liga KPM U14 - SSN Selangor (oren) vs SSTMI (biru)

Oleh Muhammad Aiman

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Liga Super Piala Remaja KPM-FAM (B-17) dua minggu lalu, SSM Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) kini berpeluang untuk menambah satu lagi trofi dalam koleksi mereka.

Pasukan dari Johor itu akan berdepan SMK Seri Titiwangsa (SMKST) dalam aksi suku akhir Piala Remaja KPM-FAM di Bandar Penawar Sabtu ini, dan ketiadaan juara bertahan SSM Bukit Jalil dalam saingan kali ini dilihat memberi kelebihan buat pasukan itu mengintai ruang menamatkan musim dengan kejuaraan berganda.

Untuk rekod, SSMTMI muncul juara liga setelah mengumpul 25 mata, tiga mata mengatasi SMK Bukit Nenas (SMKBN) hasil tujuh kemenangan dan empat keputusan seri – mereka mengesahkan kejuaraan liga ketika berbaki satu perlawanan untuk ditamatkan.

Ketika aksi terakhir liga yang mana mereka tewas 1-5 kepada SMK Seberang Temerloh, SSMTMI merehatkan sebahagian besar pemain tonggak mereka bagi mengelakkan kecederaan dan dijangka akan dapat membariskan skuad terbaik berdepan SMKST yang berkesudahan di tempat ketiga dalam saingan Liga Perdana.

Dalam satu-satunya perlawanan suku akhir yang menemukan dua pasukan dari Liga Super, naib juara liga SMKBN dari Terengganu akan melayani kunjungan wakil Negeri Sembilan SMK Za’ba di Setiu.

SMK Za’ba menyambar slot terakhir ke suku akhir setelah mengesahkan kedudukan kelima dengan menewaskan SMK Syed Hassan (SMKSH) 1-0 menerusi jaringan tunggal Hammim Kamarulzaman dalam aksi terakhir.

Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan bagi musim ini adalah seimbang dengan SMKBN menang 1-0 di Setiu pada 7 Mei lalu manakala SMK Za’ba pula menang 2-0 di Kuala Pilah pada 10 September lalu.

KPM.100+

Aksi lain menyaksikan juara Liga Perdana SMK Mutiara Impian berdepan wakil Pahang SMKST di Simpang Ampat, Pulau Pinang manakala naib juara Liga Perdana SSM Pahang bertandang ke Kangar untuk aksi menentang pasukan tangga ketiga Liga Super, SMKSH dari Perlis.

Tahun lalu, SSM Bukit Jalil muncul juara buat kali kedua setelah bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan SMK Putera dari Kelantan 4-1 dalam aksi final hasil dua jaringan Nazirul Hasif serta satu masing-masing sumbangan Zafuan Azeman dan Ariefahmi Mohd Azam manakala gol tunggal SMK Putera dijaringkan Nik Akif Shahiran. 

- Advertisement -