Pencapaian luar biasa kontijen Malaysia di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah penanda aras bagi pemilihan atlet ke temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang akan berlangsung tahun depan. 
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pencapaian di pentas Sukan SEA sentiasa menjadi platform utama penilaian bagi mana-mana atlet negara sebelum diberi peluang mencipta nama di pentas lebih besar.  
“Untuk terpilih ke Sukan Asia atau Komanwel atau mana-mana kejohanan besar, pertamanya kena buktikan di peringkat Asia Tenggara. Ini bukan kepada atlet-atlet yang sudah berstatus dunia, tetapi bagi atlet-atlet muda seperti Khairul Hafiz Jantan, Grace Wong atau penerjun-penerjun kita. 
“Kita telah memberi ruang kepada 445 atlet muda beraksi pertama kali di Sukan SEA dan ini platform mereka. Dari situ akan ada program untuk mengembangkan lagi potensi dan menguruskan prestasi mereka ke satu tahap lebih tinggi,” ujar Shapawi dalam sidang media khas di Pusat Media Utama di MITEC.
Temasya yang menutup tirainya pada Rabu (30 ogos) itu menyaksikan malaysia terlalu unggul dengan kutipan 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa sekaligus muncul juara buat kali kedua selepas edisi 2001 juga di Kuala Lumpur. 
Shapawi menjelaskan selain kelebihan tertentu kepada negara tuan rumah, kejayaan itu dibantu beberapa faktor. 
“Kita percaya setiap atlet mahu memberikan yang terbaik, dan apabila melihat rakan-rakan tampil cemerlang ini merangsang lagi semangat mereka. Kemudiannya sokongan padu dari penyokong, hampir kesemua venue dipenuhi penyokong dan tidak lupa, persekitaran pertandingan baik yang disediakan penganjur. 
“Inilah saya lihat sebagai 10 peratus faktor tambahan yang membantu pencapaian cemerlang kita ini,” kata Ahmad Shapawi.  
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan atlet negara, Shapawi berkata tiada sukan yang boleh disifatkan gagal dengan kesemuanya telah menunjukkan pencapaian mengagumkan antaranya terjun dan berbasikal (masing-masing 13 emas), silat (10 emas) manakala olahraga dan gimrama (masing-masing 8 emas). 
Beliau juga memberi bayangan program Kita Juara yang diwujudkan bagi memacu prestasi atlet dan memperkasakan pembangunan bakat-bakat baru akan diteruskan lagi dengan ‘branding’ baru ekoran kejayaan ini. 
Dalam pada itu, ketua kontijen KL2017 Datuk Marina Chin berkata ianya satu pengalaman menakjubkan buatnya.
“Apa yang paling seronok adalah melihat komitmen dan pengorbanan atlet serta jurulatih. Ada yang mengorbankan pelajaran mereka, malah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia semua diketepikan kerana mereka mahu berjuang demi negara. 
“Mereka tahu ini satu peluang yang tidak selalu hadir, untuk beraksi di hadapan keluarga, rakan-rakan dan penyokong sendiri. Mereka mahu tunjukkan mereka boleh lakukan, bekerja keras dan mereka buktikan dengan pencapaian cemerlang ini.” – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -