Wan Zaharulnizam

Oleh Muhammad Aiman

Kelantan menerima tamparan hebat dalam usaha memberi cabaran serius dan memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super yang akan kembali bersambung bulan depan apabila kehilangan khidmat pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria untuk lima perlawanan berikutnya akibat penggantungan perlawanan.

Wan Zaharulnizam atau Kechik, dikenakan hukuman tersebut oleh Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kesalahan menanduk muka pemain tengah Selangor, Nazmi Faiz Mansor ketika pertemuan antara Kelantan dan Selangor di Kota Bharu pada 21 Mei lalu.

Kechik dilayangkan kad merah pada perlawanan itu yang berkesudahan dengan The Red Warriors tewas 2-5 – ianya merupakan kad merah dalam dua perlawanan berturut-turut buat pengendali Velizar Popov sejak dia mengambil alih tugas selaku jurulatih pada awal Mei.  

Bekas pemain Harimau Muda A itu turut dikenakan denda RM2,000 selain diberi amaran keras. Dia kini akan terlepas aksi penting Kelantan menentang Terengganu (15 Julai), Pahang (23 Julai), JDT (26 Julai), Felda United (3 Ogos) dan T-Team (6 Ogos).

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL) pula didenda sebanyak RM15,000 akibat kekecohan penyokong yang tercetus ketika perlawanan menentang Perak dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Selayang pada 1 April lalu.

PBKL didapati bersalah kerana kegagalan mematuhi peraturan penganjuran perlawanan yang menjadi punca pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan selain membenarkan penyalaan bom asap pada perlawanan itu.  

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Perak boleh menarik nafas lega apabila sekadar diberi amaran keras akibat kelakuan penyokong mereka yang melontar objek ke padang pada perlawanan yang sama.

Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK) dan Kelab Bolasepak MISC MIFA pula masing-masing dikenakan hukuman denda atas kesalahan tidak menghormati keputusan Jawatankuasa Status FAM untuk menjelaskan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka, dan diberi tempoh sehingga 30 Jun depan untuk menjelaskannya.

PBMK didenda jumlah keseluruhan RM7,500 setelah gagal menjelaskan tunggakan gaji lima pegawainya Ahmad Sobri Ismail, Hussin Jaafar, Zulkipli Mahmud, Izham Mustafa dan Abdullah Hassan.

Manakala MIFA pula didenda RM1,500 kerana belum menyelesaikan tunggakan gaji pemainnya L.Rajesh.

- Advertisement -