Nabbout

Kebiasaannya Liga Malaysia menyaksikan pemain-pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia datang menghabiskan saki-baki karier di sini – antaranya adalah Pablo Aimar, Prince Tagoe, Jerry Palacios, Shane Smeltz dan El Hadji Diouf.

Tahun ini, sebaliknya berlaku di mana kita akan dapat melihat dua pemain yang pernah beraksi bersama pasukan Liga-M pula bermain di Piala Dunia Russia 2018 menerusi kelibat Dimitri Petratos dan Andrew Nabbout yang disenaraikan dalam skuad awal 26 pemain Australia.

Petratos (gambar utama) yang kini beraksi untuk Newcastle Jets menyarung jersi Kelantan pada 2013 – dia dibawa masuk Tan Sri Annuar Musa sejurus selepas menjuarai treble 2012 dan pantas menjadi antara pemain kesayangan penyokong ketika itu.

Begitupun dek kerana peraturan hanya membenarkan dua pemain import untuk didaftar, ketua jurulatih Kelantan ketika itu Bojan Hodak menggunakan Obinna Nwaneri dan Keita Mandjou dalam saingan liga manakala Petratos disenarai beraksi dalam Piala AFC. Dia beraksi dalam tujuh perlawanan dan menjaringkan empat gol.

Nabbout pula mewakili Negeri Sembilan pada musim 2016 dan turut berjaya mencuri hati penyokong dengan permainan impresif.

Dia dibawa masuk oleh Gary Philips yang membentuk regime Australia di Paroi (Nabbout-Joel Chianese-Alex Smith-Taylor Reagan) dan dianggap salah seorang rekrut terbaik musim tersebut apabila menjaringkan sembilan gol untuk membantu skuad jang berada di kedudukan tiga teratas Liga Premier ketika saingan menuju separuh musim.

Namun ketika jendela perpindahan kedua dibuka, dia bersama Chianese ditunjukkan jalan keluar tatkala pengurusan skuad hoben jang hoben berpendapat mereka perlu membawa masuk muka baru untuk memantapkan skuad. Nabbout kini beraksi dengan kelab Jepun, Urawa Red Diamonds.

Bagaimanapun, dengan hanya 23 pemain akan terbang ke Russia, Petratos dan Nabbout perlu bersaing dengan pemain veteran Tim Cahill, Tomy Juric, Mathew Leckie, Nikita Ruckavitsya dan Daniel Arzani untuk berada dalam senarai akhir Bert Van Marwijk. 

Di Piala Dunia 2018, Australia diundi di dalam Kumpulan C bersama-sama Juara 1998 Perancis, Denmark dan Peru. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -