Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) melaungkan keyakinan betapa Presiden baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah membuat keputusan tepat dengan melantik Mario Gomez sebagai jurulatih baru skuad kebangsaan.

Presiden PFAM, Hairuddin Omar berkata, “TMJ (Tunku Mahkota Johor) nampaknya tidak mahu menunggu lama untuk membawa revolusi dan saya menyokong keputusan menggantikan Dato’ Ong Kim Swee terutamanya bagi menghadapi kelayakan Piala Asia.

“Bukan kita menidakkan kebolehan Kim Swee tetapi Gomez seorang yang berpengalaman, sudah masak dengan bolasepak Malaysia dan mempunyai rekod baik termasuk di peringkat Asia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan.

“Kelebihan dimiliki Gomez menepati apa yang diperlukan. Dia mengenali pemain kita, corak dan taraf bolasepak kita serta rantau ini. Tiga ciri ini adalah faktor utama untuk melantik jurulatih asing mengendalikan pasukan kebangsaan.”

Hairuddin ditemui selepas majlis penyerahan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan 100PLUS Liga Premier kepada pemain Negeri Sembilan, Bruno Suzuki Castanhera di Universiti Teknologi Mara, Seremban 3 pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Hairuddin yang juga merupakan bekas kapten skuad kebangsaan menyambut baik hasrat empat pemain – Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, S.Kunanlan dan Aidil Zafuan Abd Radzak seandainya benar mereka mahu kembali menyarung jersi pasukan negara.

“Mereka adalah watak penting pasukan kebangsaan dan saya yakin mereka akan kembali kerana Gomez mengenali mereka secara peribadi. Apa yang kita harapkan selepas ini adalah reputasi pasukan negara dapat diperbaiki terutamanya ranking dunia. Apa sekalipun kita perlu memberi masa kepada kepimpinan baru untuk menjalankan kerja mereka.”

- Advertisement -