Juara 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan B selepas meraih kemenangan kedua, menewaskan PJ City 4-2 di laman sendiri.

JDT mendahului 2-0 menerusi Safawi Rasid (min 6) dan pemain import, Diogo Luis Santo (min 46) namun pelawat kendalian K Devan bangkit untu menyamakan kedudukan bermula dengan gol Washington Brandao di minit 58 dan R Barathkumar 11 minit berselang.

Diogo sekali lagi cemerlang meledak gol ketiga untuk JDT di minit 71 sebelum Gonzalo Cabrera melengkapkan kemenangan mutlak JDT di minit 80 untuk memastikan enam mata penuh menjadi milik pasukannya.

Sementara itu, PKNS FC meraih kemenangan pertama selepas menang 2-1 ke atas tuan rumah yang juga juara tiga kali Piala Malaysia, Negeri Sembilan .

Anak didik Datuk K Rajagobal mendahului dua gol di babak pertama menerusi Gabriel Guerra sebelum Igor Carneiro Luiz menjaringkan gol saguhati di penghujung perlawanan.

PKNS FC menghuni tangga ketiga kumpulan A manakala N Sembilan terus terperosok di kedudukan terbawah tanpa sebarang mata selepas tewas dua perlawanan.

Satu lagi pasukan, PDRM turut meraih kemenangan pertama selepas dua perlawanan selepas menewaskan Felda United 4-3.

Felda United mendahului dua gol menerusi S Chanturu (min 9) dan Mohd Khairul Amri Mohd Kamal (min 18) namun The Cops bangkit mengurangkan defisit gol menerusi Patrick Ronaldinho di minit 36.

Khairul Amri kembali melebarkan kedudukan untuk Felda United kepada 3-1 di minit 56. Namun R Gopinathan kembali menaikkan semangat juang PDRM apabila meledak dua gol di minit 78 dan 88 untuk mengikat kedudukan tiga sama.

PDRM mengesahkan tiga mata selepas Azmizi Azmi menjaringkan gol keempat pada masa tambahan separuh masa kedua perlawanan.

Terdahulu, PDRM terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Farid Ramli dilayangkan kad merah pada minit ke-54 selepas mengasari pemain lawan.

Pasukan Liga Premier, Pulau Pinang turut melakar kemenangan sulung kempen Piala Malaysia setelah mengatasi Sabah 2-1 pada aksi kumpulan C di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Dua gol skuad Harimau Kumbang dihasilkan oleh Julian Bottaro pada minit ke-21 dan gol sendiri pemain Sabah, Evan Wensley pada minit ke-73, manakala Sabah meraih gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ronoljub Paunovic pada minit ke-48.

 

- Advertisement -