Pengendali pasukan bolasepak B-22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee memberi jaminan bahawa peluang masih terbuka buat pemain-pemain lain dari luar skuad yang mencipta sejarah layak ke Kejuaraan AFC B-23 di China tahun depan untuk merebut tempat di dalam skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Di sebalik persiapan serba pincang terutama tanpa kelibat beberapa pemain tonggak, Kim Swee membimbing skuad muda negara mara ke pusingan akhir buat kali pertama dengan mengungguli Kumpulan H pusingan kelayakan di Bangkok yang berakhir semalam.

Beberapa pemain yang dipanggil saat akhir turut membalas kepercayaan Kim Swee dengan menampilkan prestasi terbaik sekaligus memberi gambaran kemungkinan besar Kim Swee akan kekal dengan skuad yang sama ini untuk membawa cabaran di KL 2017.

Namun, Kim Swee menolak tanggapan itu dan berkata dia akan menggunakan tempoh masa singkat yang ada untuk terus menilai pemain-pemain yang berpotensi dipanggil memperkuatkan pasukan.

“Masih banyak yang perlu saya lihat secara keseluruhan. Walaupun saya pergi ke Bangkok dengan 22 pemain dan kita berjaya, itu bukan bermakna pintu telah tertutup buat pemain lain. Kita masih buka peluang kepada bukan sahaja pemain-pemain yang tidak dilepaskan pasukan masing-masing sebelum ini, tetapi juga pemain lain dalam liga, Piala Presiden.

“Jika ada yang menonjol, saya akan panggil. Contohnya macam pemain remaja Kedah, Akhyar  (Abdul Rashid) yang tiba-tiba menonjol. Saya dapati dia ada potensi jadi saya bawa pergi. Ini semua akan kita tentukan dalam tempoh seminggu atau 10 hari sebelum saya panggil untuk persiapan Sukan SEA,” kata Kim Swee.

Kepulangan Kim Swee dan semua anggota pasukan B-22 kebangsaan dari Bangkok diraikan dalam satu majlis sambutan besar-besaran yang turut disertai ahli keluarga mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA pada Isnin. 

Mereka muncul juara Kumpulan H dengan enam mata hasil dua kemenangan ke atas Indonesia (3-0) dan Mongolia (2-0) manakala tuan rumah Thailand di tempat kedua dengan lima mata. Pusingan akhir akan berlangsung di China dari 9 – 27 Januari depan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu akan memberikan ganjaran sepatutnya sebagai meraikan kejayaan bersejarah ini.

“Mengikut peruntukan FAM membabitkan kelayakan ke kejohanan secara merit, kita akan berikan RM6,000 setiap seorang pemain dan pegawai pasukan, dan mungkin nanti akan ada berita gembira lagi apabila barisan pemain ini dibawa menghadap DYAM Tunku Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dalam tempoh terdekat,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -