Syamsol Saad

Oleh Muhammad Aiman

Menyedari sukar untuk memberi cabaran serius dalam saingan Liga Super andai masalah ketumpulan penyudah tidak diatasi, Perak hampir pasti akan membuat keputusan sensasi menyenaraikan semula ‘budak jahat’ mereka, Razali Umar Kandasamy ke dalam skuad apabila pintu perpindahan kedua dibuka, Jun nanti.

Ketua jurulatih Perak, Syamsol Saad mengakui pemain yang dikenali sebagai ‘The Tornado’ itu berada dalam perancangan untuk dibawa masuk dan ketika ini sedang giat menjalani latihan kecergasan bersama pasukan itu di bawah pemantauan Majlis Sukan Negeri Perak dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

“Dia mula berlatih dengan kita sehari sebelum kita bertolak ke Melaka untuk lawan PDRM. Tapi dengan MSN, sudah tiga minggu dia buat latihan kecergasan untuk tingkatkan stamina sebab dia sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif,” ujar Syamsul.

Nama Razali jelas bukan asing bagi peminat bolasepak Perak khususnya, di bumi inilah dia mencipta nama sebagai salah seorang penyerang tempatan terbaik Malaysia namun akhirnya hilang dari radar bolasepak tempatan dek masalah disiplin dan kontroversi yang tidak pernah sepi menyelubungi kariernya.

Justeru menurut Syamsol sekiranya Razali terpilih, dia amat berharap agar Razali akan kembali memperaga kualiti sama yang pernah mengangkat namanya suatu masa dahulu dalam masa sama serius dalam memperbaiki atitudnya.

“Dia perlu berterima kasih kerana PAFA masih mempercayai dan memberi peluang kepadanya, jadi dia perlu buktikan kepada semua termasuk penyokong bahawa dia sudah berubah,” kata Syamsol ketika dihubungi Sports247.

Pemain berusia 30 tahun itu adalah produk belia Perak, dia membantu Perak muncul juara Piala Presiden pada 2007 setelah meledak 33 gol – angka yang memikat perhatian pengendali skuad senior ketika itu, Steve Darby yang membawa pemain itu masuk ke skuad senior Perak.

Penghijrahan beberapa pemain tonggak membolehkan Razali menyerlah mencipta nama sehingga digelar ‘The Tornado’ malah pernah dipanggil membarisi skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K.Rajagobal antara tahun 2009 – 2011.

Namun berpunca daripada masalah disiplin apabila seringkali tidak hadir latihan tanpa alasan, malah pernah menghilangkan diri tanpa dapat dikesan PAFA, dia diberi kata dua dan kegagalan mengubah atitud itu menyaksikan kontraknya ditamatkan PAFA pada Jun 2011.

Kontroversi paling sensasi pernah dicetus Razali adalah apabila dia gagal melapor diri ke kem kebangsaan ketika skuad negara mahu bertolak ke Laos untuk Sukan Sea 2009 atas alasan pengangkutan, menyaksikannya didenda RM10,000 dan dikenakan hukuman penggantungan.

- Advertisement -