Biarpun memiliki reputasi tersendiri dan telahpun mengukuhkan namanya selaku salah seorang pemain tonggak skuad B-22 kebangsaan, Safawi Rasid enggan menjadikan ianya sebagai alasan untuk mendabik dada dan berpendapat dirinya sudah berada di zon selesa.

Sebaliknya, penyerang Johor Darul Takzim itu sedar dia perlu bekerja keras untuk memastikan namanya tidak tercicir dari senarai akhir 23 pemain yang akan diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China bulan depan.

Lebih-lebih lagi, kesemua lima pemain lain yang boleh bermain selaku penyerang – Hadi Fayyadh Abdul Razak, Akhyar Rashid, R.Kogileswaran, Jafri Firdaus Chew dan N.Thanabalan sedang menunjukkan prestasi yang baik di dalam usaha memikat Dato’ Ong Kim Swee.

“Jurulatih mempunyai pilihan pemain yang ramai di barisan depan, jadi kami semua perlu membuktikan kenapa kami layak berada dalam pasukan. Kemasukan Hadi dan Fayyadh yang merupakan tonggak skuad B-19 menjadikan persaingan semakin mencabar, jadi ianya silap jika saya menganggap status selaku pemain senior bermakna tempat saya sudah terjamin.

“Apapun saya tidak menganggap ini sebagai ancaman, saya yakin dengan kebolehan diri sendiri dan melihat persaingan ini dari sudut positif kerana ia hanya mendorong saya dan setiap pemain untuk terus meningkatkan prestasi dan memberikan yang terbaik ketika sesi latihan,” kata pemain kelahiran Dungun itu.

Skuad B-22 negara seramai 26 pemain ketika ini sedang menjalani latihan pusat di Mokpo, Korea Selatan sehingga 30 Disember depan dan mengharungi tiga aksi persahabatan dalam tempoh tersebut termasuklah perlawanan menentang Mokpo City yang berkesudahan seri 1-1 pada Rabu.

Aksi seterusnya adalah menentang Honam University pada Jumaat dan Jeonju Citizen pada 28 Disember.  Kim Swee akan menggugurkan tiga lagi pemain selepas itu dan membawa 23 pemain ke Nanjing, China untuk satu lagi aksi persahabatan sebelum berlepas ke Jiangsu bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan AFC yang berlangsung dari 9 – 27 Januari.OLEH MUHD AIMAN 

 

 

- Advertisement -