Oleh Muhammad Aiman

Bekas atlet karate negara, Senthil Kumaran membuktikan dia masih boleh dijadikan sandaran untuk meraih pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Setelah dua tahun meninggalkan kem karate negara, Senthil menandakan kembalinya semula dia ke pasukan kebangsaan dengan penuh bergaya setelah memenangi pingat emas di Kejohanan Karate Terbuka Kebangsaan di Melaka pada Rabu.

Atlet Negeri Sembilan itu menjinakkan K.Karthik dari Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 8-0 pada perlawanan akhir kumite bawah 60kg untuk merangkul gelaran kebangsaan pertamanya.

Manakala di pusingan pertama Senthil menewaskan pemenang pingat perak Sukan Asia 2006, L.Kunasilan dari Perak 4-1 dan kemudiannya Norfahan Nordin dari Labuan 9-1 di separuh akhir.  

Untuk rekod, Senthil berundur dari pasukan elit negara setelah memenangi gangsa di Sukan Asia Incheon 2014 – sebelum itu meraih pingat emas kumite B-60kg dalam penampilan pertamanya di Sukan Sea Myanmar 2013, dengan menewaskan pemenang gangsa Kejohanan Dunia 2015, Donny Darmawan.

Dia yang berusia 24 tahun kemudiannya menyatakan hasrat untuk kembali dan meninggalkan tugasnya sebagai perunding pemasaran untuk berlatih sepenuh masa bersama pasukan kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih dari Latvia, Andris Vasiljevs di Bukit Jalil.

Begitupun, dia tidak menerima sebarang elaun atau insentif memandangkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mahu Senthil membuktikan dahulu kredibilitinya di Kejohanan Kebangsaan sebelum mencadangkannya kepada Program Kita Juara 2017.

Setiausaha Kehormat MAKAF, Vincent Chen berkata, “Untuk seorang atlet meninggalkan kerjanya dan berlatih bersama kita tanpa sebarang elaun sudah cukup membuktikan komitmennya. Kini, dia sudah bergelar juara kebangsaan, kita tiada sebarang keraguan mengenai kemampuannya. Saya percaya dia boleh menyumbangkan pingat emas buat negara di Sukan Sea nanti.”

Bagi Senthil sendiri, “Saya bekerja keras untuk Kejohanan Kebangsaan ini. Saya tahu saya perlu menang untuk kembali diterima dalam pasukan kebangsaan dan gembira segala pengorbanan saya berbaloi. Saya tidak menyesal, kerana karate adalah segalanya bagi saya.”

Kejohanan selama dua hari itu, dimenangi oleh Pulau Pinang dengan kutipan lima emas dan dua perak, manakala Selangor di tempat kedua dengan 4-4-1 dan Persekutuan Hayashi Ha-Shito Ryu Kai di tempat ketiga dengan pungutan 4-2-2.

- Advertisement -