terengganu.fa.887

Oleh Ku mohd Lufti  

Pasukan yang gagal mengekalkan aksi konsisten sebelum separuh masa pertama saingan Liga Super tamat, Terengganu tampak optimis untuk bangkit dengan persembahan yang lebih baik.

Tempoh rehat daripada sebarang perlawanan selama hampir dua bulan nyata di manfaatkan pengendali Terengganu, Mike Mulvey untuk membentuk formula baru selain meningkatkan lagi tahap pemain pemain.

Mulvey memberi fokus terhadap kecergasan pemain yang dilihat tidak mencapai tahap yang dikehendaki menerusi perancangan teliti dengan jurulatih kecergasan.   

“Hasilnya cukup baik setelah kami melaksanakan perancangan itu.

“Kesemua pemain kini cergas tanpa sebarang kecederaan dan apa yang penting, kami memahami apa sasaran pasukan ini, malah pemain-pemain turut memberikan reaksi yang baik,” kata Mulvey.

Namun Mulvey enggan berpuas hati dengan prestasi anak didiknya sepanjang mengharungi beberapa perlawanan persahabatan di bulan puasa.

Kelonggaran pertahanan masih lagi meresahkan Mulvey meskipun bahagian serangan mula mempamer peningkatan.

“Perkara utama kini adalah kami ada rancangan yang jelas bagi menghadapi saingan sengit Piala Malaysia dan baki 10 perlawanan Liga Super.

“Sasaran kami sudah tentu untuk menang dalam perlawanan-perlawanan itu, namun saya tetap perlu melakukan sistem penggiliran bagi memastikan pemain terbaik dapat diturunkan dalam setiap perlawanan,” katanya lagi.

Terenggau akan mengharungi aksi pembukaan Piala Malaysia menentang pendahulu liga Premier, Melaka United di gelanggang lawan pada 12 Julai sebelum menentang Kelantan dalam aksi Liga Super pada 15 Julai.

- Advertisement -