100Plus - Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran MalaysiaOleh Muhammad Aiman

Juara Liga Super, SSM Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) tampil berada dalam kelas tersendiri untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Remaja KPM-FAM (B-17) 2016 setelah beraksi garang membelasah SMK Seri Titiwangsa (SMKST) 5-1 dalam aksi suku akhir di Bandar Penawar, Sabtu lalu.

SSMTMI nyata terlalu unggul untuk dicabar wakil Liga Perdana itu tatkala mereka memperlihatkan keghairahan memburu kemenangan sejak dari sepak mula, dan berhasil membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Syahmi Zamri.

Farizan Hashim menggandakan kelebihan pada minit ke-33 dan empat minit kemudian kedudukan menjadi 3-0 hasil sentuhan penyudah Muhd Nur Azfar Fikri Azhar.

SMKST memastikan cabaran mereka tidak terus berkubur apabila mengecilkan jurang jaringan menerusi Afif Izuddin Zulkifli pada minit akhir separuh masa pertama, namun hasrat pasukan dari Kuala Lumpur itu menterjemahkan kebangkitan di separuh masa kedua berkecai setelah Nur Azfar menjadikan kedudukan 4-1 hanya tiga minit permainan bersambung.

Nur Azfar kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-72 untuk memastikan skuad bimbingan Richard Scully melangkah bergaya ke kelompok empat terbaik dan berada di laluan memburu kejuaraan berganda.

Di separuh akhir, mereka akan berdepan wakil Perlis, SMK Syed Hassan (SMKSH) yang mara setelah mengetepikan kebangkitan lewat permainan Sekolah Sukan Malaysia Pahang 3-2 dalam aksi di Kangar.

SMKSH mendahului 3-0 selepas sejam perlawanan berlangsung hasil jaringan hatrik Wan Mohd Adly Wan Nazmi pada minit ke-35, 39 dan 60 namun cemas seketika apabila SSM Pahang cuba bangkit menerusi jaringan lewat Khussaini Adli (m-84) dan Mukhairi Ajmal (m-86).

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan dua pasukan dari pantai timur iaitu SMK Bukit Nenas (SMKBN, Terengganu) dan SMK Seberang Temerloh (SMKST, Pahang).

Aksi suku akhir penuh dramatik di Marang menyaksikan SMKBN menyingkirkan SMK Za’ba 2-1 menerusi gol kemenangan di minit kelima masa kecederaan jaringan Wan Muhammad Badru Muhayat Wan Ismail, setelah SMK Za’ba sebelum itu menyamakan kedudukan juga di masa kecederaan menerusi Hakimi Abd Latif.

SMKST pula meneruskan langkahan setelah mengecewakan juara Liga Perdana, SMK Mutiara Impian dari Pulau Pinang 1-0 hasil jaringan tunggal Azim Rafik pada minit ke-89.     

- Advertisement -