jonsen-1

Oleh Muhammad Aiman

Membawa masuk jurulatih asing untuk mengendalikan pasukan bolasepak kebangsaan, tidak dilihat sebagai langkah tepat yang boleh mengangkat imej mahupun prestasi pasukan ke aras lebih tinggi.

Sebaliknya, adalah lebih penting memperbetul dan memperkasakan dasar serta sistem pembangunan akar umbi kerana di situ bermula punca kepada kegagalan untuk membentuk sebuah skuad mantap berdaya saing di pentas antarabangsa.    

Itu pendapat bekas pemain Manchester United, Ronny Johnsen yang berkata tiada guna sekiranya dibawa datang pengurus paling hebat dan berjaya dalam arena bolasepak dunia sekalipun jika masalah sebenar yang menjadi kekangan untuk bolasepak tanah air melangkah jauh tidak diatasi.

“Tidak banyak saya tahu tentang bolasepak Malaysia, tetapi saya tahu di sini bolasepak sukan nombor satu tetapi ia tidak cukup untuk meletakkan kamu di peta bolasepak dunia.

“Untuk membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang bagus, kamu perlu bermula dari bawah. Mantapkan sistem pembangunan, lebih penting mendapatkan seorang jurulatih yang bagus untuk membimbing pemain-pemain menjadi yang terbaik sedari usia kanak-kanak, mereka akan berkembang selaras usia dan ini akan memberikan manfaat kepada skuad senior. Ini adalah apa yang diamalkan di kebanyakan negara-negara Eropah.

“Saya tidak rasa seorang jurulatih yang terbaik boleh merubah imej bolasepak di sesebuah negara seandainya kegagalan itu adalah pada benihnya. Jurulatih hanya boleh dipertanggungjawabkan untuk prestasi pasukan, bukan kegagalan sistem pembangunan.

“Jadi, dalam konteks ini kamu perlu melihat di mana kegagalan itu bermula, adakah di sistem atau pada prestasi pasukan semata-mata. Saya percaya bolasepak Malaysia boleh melangkah jauh jika masing-masing tahu peranan manakala perancangan pembangunan dilaksanakan sepertimana dirancang.”   

Bekas pemain kebangsaan Norway yang merupakan anggota juara treble 1999 itu ditemui Sports247 ketika hadir sebagai duta Gulf Oil International di Pameran dan Persidangan Hari Maritim Sedunia Malaysia 2016 di ibu negara.  

Untuk rekod, Johnsen, 47, beraksi bersama The Red Devils dari 1996 – 2002, dan dalam tempoh itu menjulang empat gelaran Liga Perdana Inggeris, satu Piala FA, satu Piala Sumbangsih dan paling manis sudah tentunya menjulang Liga Juara Eropah dan Piala Antara Benua pada 1999.

“1999 adalah detik paling indah dalam karier saya, kami lengkapkan treble dengan bangkit dari ketinggalan, jaringkan dua gol di masa kecederaan untuk tewaskan Bayern dan julang Liga Juara Eropah di Camp Nou. Sudah tentu saya mahu zaman menjulang treble itu berulang buat United walaupun persaingan ketika dahulu dan sekarang sudah jauh berbeza.

“Ketika itu sangat mudah untuk meneruskan dominasi apabila sudah sekali menjulang trofi, sebab itu United dahulu adalah gergasi eropah untuk bermusim lamanya. Seteru utama kami yang boleh mencabar trofi hanyalah Arsenal, saya masih ingat bagaimana mereka bangkit di akhir musim untuk menang trofi EPL dengan mengecewakan United.

“Ianya mungkin akan mengambil masa untuk kembali membentuk sebuah pasukan mantap seperti dahulu. Ketika saya datang ke Old Trafford pada 1996, Sir Alex (Ferguson) sudah berada di situ 10 tahun, jadi mudah untuk mana-mana pemain sesuaikan diri dengan sistem latihan sudah sedia diterap. Tapi sejak empat tahun terakhir, United sudah ada tiga pengurus, dan ia sudah tentunya memerlukan masa,” kata Johnsen.

Manchester United pada musim ini, dibimbing Jose Mourinho dan berada di kedudukan keenam selepas tujuh perlawanan dengan 13 mata hasil empat kemenangan dan satu seri.      

- Advertisement -