Tan Cheng Hoe yang sedang rancak mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2018 pada bulan depan telah menyenaraikan 24 pemain untuk menjalani latihan pusat kem kebangsaan bermula 8 Oktober 2018.

Harimau Malaya akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober dan bertemu Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober 2018.

Pasukan akan menjalani dua hari latihan tempatan di Melaka pada 8 dan 9 Oktober sebelum berlepas ke Colombo pada 10 Oktober 2018.

Apa yang membimbangkan adalah kecenderungan Cheng Hoe sentiasa merombak barisan pemainnya dan terlalu ramai pemain keluar masuk sejak 10 bulan lalu. Sehingga kini nampaknya dia belum ada bayangan siapa yang akan membarisi skuad impian ke Piala AFF Suzuki 2018.

Jelas ini bukanlah satu situasi yang sihat kerana sukar untuk persefahaman dan keserasian dipupuk apabila sentiasa ada perubahan. Kita tunggu dan lihat hasilnya, dan berikut antara ‘highlights’ lain dari senarai panggilan kali ini.

Kelibat Mohamadou Sumareh bakal cipta sejarah

Buat pertama kalinya, Mohamadou Sumareh disenaraikan oleh Cheng Hoe sejak pemain itu sah mendapat taraf kerakyatan Malaysia kira-kira lima bulan yang lalu.

Pemain sayap Pahang itu telah menjadi watak penting buat pasukannya dan kehadirannya dilihat sebagai tambahan yang cukup diperlukan untuk memperkasakan kreativiti serangan pasukan negara.

Jika diturunkan menentang Sri Lanka nanti, Sumareh akan mencipta sejarah sebagai pemain naturalisasi pertama menyarung jersi Malaysia di pentas antarabangsa.

Penampilan pertama Norshahrul Idlan selepas hampir dua tahun

Pemain sayap Pahang ini sepatutnya membuat penampilan semula dalam jersi kebangsaan pada bulan lalu ketika Malaysia menentang Taiwan dan Kemboja dalam aksi persahabatan.

Namun dia yang kembali ke kem kebangsaan selepas hampir dua tersisih meninggalkan kem latihan pusat pasukan hanya sehari selepas melapor diri kerana urusan keluarga.

Bekas Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia ini kali terakhir mewakili Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki 2016. Kemudiannya dia tidak lagi dipanggil disebabkan masalah prestasi.

Justeru, ini adalah peluang terbaik buat Norshahrul membuktikan kepada semua betapa sentuhannya masih berbisa dan Cheng Hoe tidak silap di dalam menyenaraikannya di dalam skuad.

Enam pemain digugurkan

Cheng Hoe mengekalkan seramai 16 pemain dari skuad 22 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bulan lalu.

Enam pemain yang digugurkan adalah penjaga gol Farizal Marlias dan pemain tengah Nazmi Faiz Mansor (JDT), Nasir Basharudin (Perak), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Syawal Nordin (Kedah) dan R Kogileswaran (Pahang).

Sebagai ganti, Cheng Hoe telah memanggil Sumareh dan Matthew Davies (Pahang), penjaga gol Haziq Nadzli dan Syamer Kutty Abba (JDT) serta Kenny Pallraj dan Nor Hakim Hassan (Perak). – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -