shakam-2

Oleh Muhammad Aiman

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji kerajaan akan menyediakan peruntukan lebih besar untuk memperkasakan pembangunan sukan, susulan pencapaian cemerlang atlet negara di temasya Sukan Olimpik (Ogos) dan Paralimpik (September) Rio De Janeiro 2016.

Beliau yang cukup berbangga dengan kejayaaan membawa pulang keseluruhan tiga emas, empat perak dan dua gangsa dari dua temasya itu berkata, “Pencapaian mereka di Rio adalah satu inspirasi, yang sukar untuk kita lupakan. Atlet-atlet ini mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tidak berputus asa dalam usaha mereka untuk memenangi pingat.

“Mereka membuatkan seluruh negara ini berbangga dengan memberikan yang terbaik untuk memenangi pingat. Kita mesti menjadikan kejayaan mereka sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan berterusan dan kerajaan bersedia untuk melabur lebih banyak bagi pembangunan sukan.

“Saya rasa pelaburan sukan juga mampu memberi pulangan yang baik kepada negara. Saya dalam persediaan menyiapkan bajet, saya tidak akan lupakan bajet tambahan untuk sukan. Saya akan mengumumkannya di Belanjawan 2017 (21 Oktober) nanti.”

Najib berkata demikian dalam ucapannya sebelum menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara berjumlah keseluruhan RM7.64 juta kepada kesemua 12 pemenang pingat olimpik dan paralimpik di ibu negara pada Sabtu.

Sejak dua tahun lalu, sukan sememangnya menjadi intipati utama dalam Belanjawan Nasional dalam usaha memacu Malaysia ke arah negara bersukan di mana pada Bajet 2015, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima peruntukan tambahan RM103 juta bagi pembangunan sukan.

Manakala pada Bajet 2016 pula keseluruhan RM220 juta diperuntukan iaitu RM145 juta bagi persediaan Sukan Sea dan Para Asean Kuala Lumpur 2017, manakala RM75 juta untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi menerusi Program Podium.

Sementara itu, dua wira paralimpik, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zulkifly muncul penerima tertinggi SHAKAM selepas masing-masing diberikan RM1.05 juta di atas kejayaan meraih emas (RM1 juta) dan juga memperbaharui rekod dunia (RM50,000) di Rio.

Manakala seorang lagi pemenang emas, Mohd Ridzuan Mohd Puzi menerima RM1.02 juta, termasuk tambahan RM20,000 di atas kejayaan memperbaharui rekod Sukan Paralimpik.

Kejayaan meraih pingat perak di olimpik pula menyaksikan jaguh badminton negara Dato Lee Chong Wei menerima RM500,000, manakala tiga pemenang pingat perak yang lain Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong masing-masing menerima RM350,000.

Pemenang pingat gangsa acara keirin olimpik, Azizulhasni Awang menerima RM300,000 makanala Siti Radiah Ismail yang menyumbang gangsa lompat jauh T20 turut menerima RM300,000, serta tambahan insentif RM200,000 dari KBS.

Kesemua jurulatih yang membantu atlet meraih pingat turut menerima 30 peratus daripada nilai SHAKAM, yang mana tambahan 10 peratus adalah pemberian khas untuk temasya kali ini sahaja.

- Advertisement -