Pulau Pinang gagal mempertahankan pingat emas futsal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) apabila tewas 2-4 kepada Terengganu dalam aksi kedua Kumpulan D pada Rabu yang sekaligus menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut buat skuad bimbingan Hasrinizam Hashim yang sebelum ini kecundang 2-9 kepada Pahang dalam aksi pembukaan pada Ahad lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Sukan Manjung menyaksikan Terengganu merebut pendahuluan 4-0 pada satu ketika menerusi jaringan Iqhmal Najmie Ismail, Amirul Izzad Adang dan dua jaringan Hafizi Ismail sebelum Pulau Pinang mengurangkan defisit jaringan menerusi Abu Bakar Abdul Naser dan Ririn Amiruddin.

Tersingkirknya Pulau Pinang bermakna Terengganu dan Pahang menempah tiket beraksi di suku akhir dan masing-masing akan berentap dalam aksi terakhir pada Jumaat nanti untuk menentukan juara kumpulan.

Sementara itu, turut mara ke suku akhir adalah Selangor yang beraksi garang membelasah Perlis 7-2 dalam aksi Kumpulan A.

Ia adalah perlawanan pertama buat Selangor setelah perlawanan menentang Sabah yang sepatutnya berlangsung Ahad terpaksa ditunda dan kemudiannya dibatalkan setelah para pemain pasukan Sabah dijangkiti beguk.

Gol buat skuad bimbingan Addy Shairullyzam itu yang meletakkan sasaran mahu memenangi emas hadir menerusi Shah Azman Ekmal Salleh dan U.Kaelassh yang menjaringkan dua gol masing-masing, Nurasyraaf Mohamad Azle, Tuah Eizlan Aminuddin, Asyraf Abdul Jalal manakala Perlis membalas menerusi Muqri Azim Marzuki dan Shahrul Imran.

Kemenangan dilakar Selangor bermakna tuan rumah Perak yang menang dengan angka jaringan sama ke atas Perlis pada aksi pembukaan turut melangkah ke suku akhir. Perak dan Selangor akan bertemu pada Jumaat untuk menentukan juara kumpulan.

Dalam aksi Kumpulan C pula, juara 2011 Johor terlepas peluang mengesahkan kemaraan awal apabila kecundang 4-6 kepada finalis 2013, Wilayah Persekutuan.

Perlawanan yang turut dicemari insiden pergaduhan pada penghujung perlawanan menyaksikan Wilayah Persekutuan meraih tiga mata menerusi jaringan oleh Iskandar Alif, Shahril Hisham serta dua gol masing-masing oleh Hikmal Firdaus Darul Ridzuan dan Nazrin Ashraff.

Johor bagaimanapun masih menerajui kumpulan menerusi beza jaringan ke atas Wilayah berikutan kemenangan besar 7-3 yang dilakar ke atas Negeri Sembilan pada aksi pembukaan.

Nasib ketiga-tiga pasukan akan diketahui selepas perlawanan terakhir kumpulan antara Wilayah dan Negeri Sembilanpada Jumaat.

Aksi Kumpulan B pula menyaksikan Melaka melakar kemenangan 4-2 ke atas Sarawak dan melonjak selaku pendahulu menerusi beza jaringan. Melaka akan turun menentang Kedah dalam aksi terakhir. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -