Pasukan Super KIP Honda Racing Academy meletakkan sasaran untuk meraih podium pertama mereka dengan Mohd Anuar Ibrahim Pawi menjadi sandaran utama pasukan menjelang perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, 1 dan 2 September ini.

Pengurus pasukan, Azlan Shah Saidun Hardi menjelaskan pelumba kelahiran Kampung Gajah berusia 18 tahun itu merupakan pelumba terbaik pasukan yang baharu ditubuhkan pada tahun ini.

Selepas empat pusingan, Anuar menduduki tangga kesembilan keseluruhan dalam kategori CP115 dengan 27 mata dan meraih penamat terbaik di tempat kelima.

“Anuar juga sentiasa menunjukkan prestasi konsisten dalam setiap perlumbaan. Memang dia merupakan antara prospek terbaik kami untuk meraih podium manakala dalam kategori WIRA KBS, dan saya harap semuanya berjalan dengan baik minggu ini,” jelas Azlan.

“Selepas empat pusingan, aksi pelumba kami semakin baik dan pasukan juga semakin dapat menyesuaikan diri dalam musim pertama kami di saingan Cub Prix. Mungkin perlumbaan di hadapan penyokong sendiri akan membawa tuah kepada kami.”

 

- Advertisement -