Penang Black Panthers membuka tirai Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 dengan langkah kanan setelah menewaskan Melaka Titans dalam aksi pertama sekaligus menjulang Piala Sumbangsih di Kompleks Gem In Mall, Cyberjaya pada Jumaat.  

Juara dua musim berturut-turut itu yang diperkuatkan tekong dan apit kanan kebangsaan iaitu Syahir Rosdi dan Azlan Alias ternyata tidak berdepan masalah besar melakar kemenangan mudah 2-0 (21-12, 21-14) ke atas Melaka Titans yang merupakan juara STL Divisyen Satu musim lalu.

Servis bertenaga Syahir dan rejaman padu Azlan yang merupakan anggota pasukan regu emas Sukan Asia Jakarta-Palembang dilihat terlalu ampuh untuk disaingi Melaka Titans dibarisi Sahidan Ali, Zarlizan Zakaria dan Asyraaf Zawawi.

“Ianya satu permulaan positif dan kemenangan ini adalah kerana kami menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi, masing-masing memainkan peranan dengan cukup baik dan kami berharap ianya memberi suntikan bagi mengharungi baki aksi bagi minggu ini,” ujar Azlan.

Tatkala kemenangan meletakkan Black Panthers selaku pendahulu hari pertama STL Premier, mereka turut memenangi hadiah wang tunai RM3,000 selaku juara Piala Sumbangsih yang kemudiannya disampaikan kepada Ma’had Tahfiz Al-Quran Kasyfu Al-Ulum.

Sementara itu dalam aksi yang berlangsung lebih awal sebelum itu, pendatang baru PDRM Defenders dikerah bekerja keras sebelum mengetepikan Kelantan Warriors 2-1.

Naib juara STL Divisyen Satu 2017 itu yang dibarisi Izzat Zainal, Syafiq Rahman dan Hafiz Wahab menang 21-18 pada set pertama tetapi tewas 14-21 di set kedua.

Set ketiga menyaksikan PDRM Defenders mendahului selesa 19-14 pada satu ketika namun hampir sahaja berputih mata apabila membenarkan Kelantan Warriors menterjemahkan kebangkitan dan mengikat kedudukan 21-21  sebelum akhirnya menang 23-21. 

Dalam satu lagi aksi naib juara musim lalu, Kuala Lumpur Thunder pula menewaskan Johor Tigris 2-0 (21-18, 21-14).  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -