FieldHockey

Usaha mengilap dan melahirkan pelapis berbakat dalam sukan hoki di Terengganu akan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang menjejaskan sumber kewangan kerajaan negeri itu tahun ini.

Malah satu-satunya Akademi Hoki sedia ada di negeri itu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu akan terus diperkemas dan kemudahan latihannya juga diperlengkap dari semasa ke semasa.

Ke arah itu bermula tahun ini, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif menyediakan seorang jurulatih sepenuh masa bagi melatih pelatih di akademi berkenaan.

Jelas Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Dato’ Rozi Mamat, pihaknya telahpun bersetuju untuk melantik  bekas pemain hoki kebangsaan Chairil Anwar Abdul Aziz yang juga adalah anak watan negeri berkenaan untuk mengalas tanggungjawab itu.

“Kita ada jurulatih, tetapi kebanyakkannya dibantu oleh guru guru yang kurang berpengalaman dalam bidang hoki di Terengganu. Untuk tahun ini, kita akan mendapatkan seorang jurulatih sepenuh masa dan saya difahamkan rundingan sudah di fasa terakhir,” kata Datuk Rozi Mamat.

Rancangan itu susulan aksi membanggakan skuad hoki bawah 16 tahun lelaki negeri itu yang menjuarai kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun Kebangsaan 2016.

Pasukan dibawah kendalian jurulatih Mohd Fikri Harun ini menewaskan Selangor dalam penentuan penalti selepas terikat satu sama pada 20 Mac lalu yang berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

- Advertisement -