TNB menyerlahkan penguasaan menundukkan lawan satu persatu tetapi Maybank terus membuktikan keunggulan mengemudi kedudukan teratas liga selepas kemenangan selesa 4-1 ke atas TNB Thunderbolts pada hari kelima Liga Hoki Malaysia (Premier) 2022 di Stadium Nasional malam tadi.

Selepas kekecewaan tewas pada Piala Sumbangsih di tangan THT minggu lepas, TNB tidak menoleh ke belakang, terus garang dengan mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, kali ini dengan mengetepikan UiTM HA 3-1 .

TAmpak semakin yakin dengan corak permainan kemas, TNB tidak menunggu lama untuk membolosi gawang UiTM menerusi jaringan padang Mohd Redzuan Mor Mohamad lapan minit selepas bermula permainan.

UiTM cuba menyaingi tetapi gagal mengekang kemaraan TNB yang terus melebarkan jaringan tiga minit selepas bermula separuh masa kedua menerusi gol dari pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Amirul Hamizan Azhar.

Muhammad Shahril Saabah terus menambah luka UiTM HA menerusi gol pada minit ke-47, gol peribadi ketiga beliau dalam liga setakat ini dan sekaligus, memastikan TNB mengisi kedudukan kedua liga selepas empat perlawanan.

UiTM berusaha keras merapatkan jurang dan akhirnya berjaya pulang dengan gol saguhati menerusi jaringan padang Muhammad Faris Ros Fadillah tiga minit sebelum hon penamat.

Maybank, yang dikecewakan TNB 0-3 pada Khamis lepas, bangkit semula untuk menguasai kedudukan liga selepas lima perlawanan dengan kemenangan 4-1 ke atas TNB Thunderbolts.

Bagaikan harimau yang terluka, Maybank bingkas menggerak serangan pantas dan merobek gawang lawan menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan hanya lima minit selepas permainan bermula.

Tiga gol dalam tempoh lapan minit menerusi Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-31, Muhammad Najmi (minit ke-36) dan Amirullah Zainol pada minit ke-38 meranapkan apa jua harapan TNB Thunderbolts yang, bagaiamanapun, berhasil membalas menerusi Muhammad Muhibuddin Moharam pada minit ke-52.

Dalam pada itu, skuad National Development Team (NDT) meraikan kemenangan pertama liga selepas menundukkan Nurinsafi Sporting 2-0.

Chyreal Harve Ahinin dan Muhammad salman Sudirman masing-masing menemui sasaran pada minit ke-21 dan 40 untuk membantu NDT meraih tiga mata berharga sekaligus mengelak dari kedudukan tercorot.

 

- Advertisement -