Perenang negara, Welson Sim melakar sejarah sensasi apabila memenangi pingat emas acara 400m gaya bebas di Jelajah Mare Nostrum, Monaco pada awal pagi Ahad dengan menewaskan Mack Horton dari Australia yang juga penyandang pingat emas Sukan Olimpik Rio De Janeiro.

Perenang berusia 20 tahun dari Sarawak itu yang turut beraksi di Rio tahun lalu, turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan masa 3:49.48s – memadam rekod lama 3:50.33s yang dilakukannya di Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan di Singapura, Mac tahun lalu.

Horton menamatkan saingan di tempat kedua dengan 3:50.13s manakala perenang China, Qiu Ziao pula menduduki tempat ketiga dengan catatan 3:51.18s.

Untuk rekod, Welson adalah perenang kedua negara untuk memenangi emas di Jelajah Mare Nostrum setelah Phee Jinq En melakukannya buat kali pertama tahun lalu dengan memenangi acara 50m kuak dada, juga di Monaco.

Jelajah Mare Nostrum berlangsung membabitkan tiga venue dengan Monaco adalah pembuka tirai dan saingan akan diteruskan pula di Barcelona, Sepanyol pada 13 – 14 Jun sebelum menutup tirai di Canet en Roussillon pada 17-18 Jun. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -