Kepakaran Welson Sim dalam acara 200m, 400m dan 800m gaya bebas jelas tidak dapat dinafikan. Dalam tempoh tiga tahun sejak 2015 dia sudahpun bergelar pemegang rekod kebangsaan dalam kesemua acara itu malah mengecap pelbagai kejayaan di pentas tempatan mahupun antarabangsa.

Begitupun, perenang olimpik berusia 18 tahun itu mendapati ianya terlalu sukar untuk memadam rekod kebangsaan paling lama bertahan iaitu dalam acara 1,500m meskipun sudah beberapa kali mencuba.

Rekod acara itu masih dipegang Jeffrey Ong dengan catatan 15:23.61s yang dilakukan 26 tahun lalu ketika beraksi di Sukan Universiade di Sheffield pada 1991.

Catatan masa terbaik Welson pula masih agak jauh di belakang 15:31.10s yang direkodkan ketika beraksi di Kejohanan Renang Terbuka Singapura pada Mac tahun ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu sedang menunjukkan peningkatan konsisten dan peluang tersedia untuk Welson cuba melakukannya sekali lagi apabila berlangsung temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan.

Namun, Welson enggan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri dan menegaskan keutamaannya di KL2017 bukanlah mengejar rekod kebangsaan tetapi mahu memenangi pingat emas acara itu dengan memecahkan dominasi perenang Vietnam dan Indonesia.

“Memang sudah begitu lama saya bekerja keras mahu atasi rekod itu tapi ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Apapun, saya menggandakan usaha ketika latihan dan renangan saya juga berada dalam tahap terbaik ketika ini.

“Saya percaya dengan konsistensi ditunjukkan, saya berpeluang memenangi emas dan perbaharui catatan masa peribadi terbaik, tetapi untuk atasi rekod kebangsaan saya tidak pasti dan sebolehnya saya tidak mahu memikirkan mengenainya supaya tidak tertekan,” kata Welson.

Selain acara 1,500m, Welson turut disandarkan harapan untuk menyumbang emas buat kontijen negara menerusi acara 200m dan 400m gaya bebas.

“Keadaan fizikal saya bertambah baik dan semakin berotot, jadi saya punyai keyakinan dapat menguasai acara 200m dan 400m,” ujarnya yang memenangi sebutir emas (400m gaya bebas), dua perak (4x100m dan 4x200m gaya bebas berganti-ganti) dan satu gangsa (200m gaya bebas) di Singapura dua tahun lalu.  

Acara 1,500m pula dikuasai perenang Vietnam, Lam Quong Nhat yang memenangi emas dengan catatan masa 15:31.03s manakala perenang negara, Kevin Yeap memenangi gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -