air-asia

Oleh Muhammad Aiman

Sebagai satu daripada usaha penjenamaan semula, pasukan Liga FAM, Air Asia Allstars FC selepas ini akan dikenali sebagai Petaling Jaya Rangers.

Dengan menjadikan warga Petaling Jaya sebagai ‘fan-base’ mereka, pasukan itu akan turut menjadikan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang tuan rumah mereka bagi menghadapi saingan Liga FAM musim 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia yang juga Pengerusi kelab, Tan Sri Tony Fernandes berkata sasaran kelab itu adalah layak ke saingan 100 Plus Liga Premier 2018.

“Kita hampir melakukannya musim lalu tetapi kandas di separuh akhir tewas tipis kepada MISC MIFA, jadi sasaran kita selepas ini adalah perlu lebih baik dari itu, layak ke Liga Premier dan saya percaya kita mempunyai skuad cukup kuat untuk capai sasaran itu,” kata Tony pada majlis memperkenalkan pemain pasukan itu.

PJ Rangers akan dibimbing oleh bekas jurulatih Melaka, Mat Zan Mat Aris dan pengendali itu telahpun merekrut enam bekas pemainnya iaitu See Kok Luen, Bharath Kumar, Iskandar Hanafiah, Saiful Mustafa, Muhd Afiq dan Fadzley Rahim dalam senarai 22 pemainnya.

Turut memperkuatkan cabaran PJ Rangers adalah Fahrul Razi Kamarudin (Kuala Lumpur), Tuah Iskandar (JDT II), Fairul Azwan (Felda United) dan Faizal Mansor (DRB Hicom).

Mereka hanya mengekalkan enam pemain musim lalu iaitu Shahril Izwan, Khairul Naim, Faizwan Abdullah, Zamri Hassan, Didie Arizal dan Mohd Hafizan manakala penjaga gol utama mereka Syamsuri Mustafa terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan. 

Selain itu, pada majlis sama kelab itu turut memaklumkan mengenai kerjasama ekslusif bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) yang akan meminjamkan kepakaran mereka bagi membuka sebuah akademi bolasepak di sini yang bertujuan mencungkil bakat-bakat baru bolasepak tempatan.

- Advertisement -