Oleh Ku Mohd Lufti

Permulaan 2017 yang penuh dengan liku dan dugaan berakhir dengan lakaran senyuman dari jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei selepas meraih kemenangan dalam aksi final di All England 2017.

Chong Wei yang mengalami kecederaan MCL sebelum ini membuktikan komitmennya apabila menewaskan pemain dari China, Shi Yuqi dengan kemenangan straight set 21-12, 21-10.

Namun, pemain berusia 34 tahun itu terpaksa bermain di gelanggang selama 45 minit sebelum mengesahkan kejuaraan All England untuk kali keempat dalam kariernya.

Kemenangan keempat ini sekaligus menyamai rekod kemenangan yang pernah dilakar Eddy Choong (1953, 1954, 1956, 1957).

Nasib berbeza dialami gandingan bergu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila tewas kepada pasangan China, Lu Kai-Huang Yaqiong. 

Meskipun menang 21-18 di set pertama, Lu Kai dan Huang bangkit untuk meraih kemenangan di set kedua 21-19 sebelum menutup aksi final bergu campuran dengan status juara selepas menang 21-16 di set penentuan.

Malaysia masih lagi belum mempunyai pemenang dalam acara bergu campuran, bergu wanita dan perseorangan wanita sepanjang saingan All England.

- Advertisement -