Pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari optimis untuk mempertahankan pingat emas bagi kategori individu Putra 65kg – 70kg di temasya sukan SEA ke 29 kelak.

Pesilat berusia 25 tahun ini mempertahankan pingat emas sebanyak tiga kali berturut turut sejak temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Olahragawan Kebangsaan 2015 ini antara tiga atlet Malaysia yang dipilih sebagai pembawa jalur gemilang bersama sama jaguh Keirin dunia, Azizul Hasni Awang dan ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong ketika upacara pembukaan Sukan SEA ke 29 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Ogos nanti.

“Majlis ini sangat hebat dan saya rasa beruntung kerana terpilih untuk membawa bendera. Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana percaya kepada saya untuk menggalas amanah dan tanggungjawab besar ini”.

“Alhamdulillah, saya telah meletakkan 100% sasaran emas dan akan membanggakan Malaysia”, kata Al-Jufferi.

Majlis ini diibaratkan paling bermakna dan ditunggu-tunggu sejak tahun 2012, malah persiapan termasuk latihan intensif untuk memastikan emas berjaya digenggam di gelanggang silat yang terletak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dijadual bermula 24 Ogos depan.

“Saya menjalani latihan bersama rakan rakan dan banyak halangan yang terpaksa dilalui tapi sebagai atlet bagi kategori individu, saya anggap ini adalah satu tanggungjawab untuk memburu kemenangan serta mengharumkan nama negara,”katanya lagi.

Namun, Al Jufferi tidak mahu terlalu yakin dan menganggap Indonesia dan Vietnam sebagai pencabar utama yang mampu menjejaskan impian untuk meraih emas.

Acara silat akan mempertandingkan sebanyak 20 pingat emas, kedua terbanyak dalam penganjuran Sukan SEA ke 29 tahun ini selepas sukan olahraga. Oleh NOORIZAN MAMAT

 

- Advertisement -