Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin mengumumkan 111 pingat emas sebagai sasaran untuk dimenangi kontijen negara di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Menurut Khairy, jumlah itu adalah relevan bagi memastikan kontijen negara dapat merealisasikan hasrat muncul juara keseluruhan buat kali pertama sejak 2001.

Bagi temasya Sukan Para ASEAN pula, Khairy berkata sasaran yang ditetapkan adalah 103 pingat emas.

ā€œSasaran dibuat mengambil kira semua faktor, senario, analisa dan sebagainya. Ada sukan yang kita optimis ada yang kita konservatif dan kita lihat ini adalah angka seimbang.

ā€œAda analisa kata ia akan jadi lebih, ada analisa kata ia akan jadi kurang tetapi saya tetapkan 111 setelah lihat kepada sasaran setiap persatuan sukan dan saranan Majlis Sukan, Majlis Olimpik dan ini angka yang kita berpuas hati,ā€ kata Khairy.

Khairy bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kontijen Sukan SEA dan Para Asean negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sukan yang dianggap akan menjadi lubuk emas dan menegaskan tiada sukan yang diberi penekanan khusus untuk menyumbang emas.

Kali terakhir Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA adalah ketika menjadi tuan rumah pada 2001 dengan meraih 111 pingat emas.

Sukan SEA ke-29 akan berlangsung dari 19-30 Ogos 2017 manakala Sukan Para ASEAN pula dari 17-23 September 2017. ā€“ OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -