Juara bertahan, Thailand mengesahkan tiket ke separuh akhir bolasepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah beraksi garang untuk menewaskan Vietnam 3-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Selayang pada Khamis (24 Ogos).  

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Worrawoot Srimaka layak selaku juara Kumpulan B dengan 13 mata dan mereka akan diiringi Indonesia yang turut menempah slot ke kelompok empat terakhir melalui kemenangan 2-0 ke atas Kemboja dalam satu lagi aksi di Stadium Shah Alam. 
Di separuh akhir yang akan berlangsung Sabtu, Thailand yang merupakan juara 15 kali akan menentang Myanmar sekaligus mengulangi pertembungan final dua tahun lalu di Singapura manakala Indonesia pula akan menentang Malaysia bimbingan Dato’ Ong Kim Swee, ulangan aksi final 2011. 
Thailand pada awalnya diragui peluang mereka untuk meneruskan kemaraan setelah tidak begitu menyerlah dalam empat perlawanan pertama, seri atau tewas kepada Vietnam akan menyaksikan mereka mengucapkan selamat tinggal lebih awal. 
Namun mereka memilih waktu yang sesuai untuk menyerlahkan taring sebenar malah dilihat terlalu unggul untuk disaingi Vietnam yang sebelum ini cemerlang mencatat kemenangan besar dalam tiga perlawanan pertama menentang Timor Leste, Kemboja dan Filipina. 
Skuad gajah perang itu mendahului pada minit akhir separuh masa pertama menerusi penyudah Phitiwat Sookjitthummakul dan menggandakan kelebihan tujuh minit setelah permainan separuh masa kedua bersambung menerusi penyerang, Picha Au-Tra. 
Ketua pasukan, Chenrop Sampaodi memastikan perjuangan skuad bimbingan Nguyen Huu Thang berkubur setelah merembat masuk menewaskan penjaga gol, Phi Minh Long pada minit ke-68. 
Sementara itu, Indonesia pula menjaringkan dua gol di separuh masa kedua menerusi pemain gantian untuk mengesahkan kemenangan ke atas Kemboja. 
Kesilapan pemain pertahanan, Soeuy Visal memberi ruang kepada Ezra Harm Ruud Walian untuk menjaringkan gol pertama pada minit ke-56 dan 12 minit kemudian, Febri Hariyadi melengkapkan kemenangan buat skuad bimbingan Luis Milla sekaligus memberikan tiga mata penting.  
Kekalahan menyaksikan Kemboja menamatkan saingan di kedudukan terakhir setelah gagal mengutip sebarang mata. 
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Universiti Malaya, dua jaringan Javier Augustine Gayoso membantu Filipina menamatkan cabaran di KL 2017 dengan kemenangan 2-1 ke atas Timor Leste. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -