Kosuke Hamamoto dan Atthaya Thitikul mengesahkan dua emas buat Thailand dari lapangan golf setelah masing-masing mengungguli saingan individu lelaki dan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di The Mines Golf & Country Club pada Khamis (24 Ogos).
Dalam aksi individu lelaki, birdie di lubang ke-15 dan 16 membolehkan Hamamoto mencatat tiga di bawah par 68 pada hari terakhir dan bergelar juara dengan catatan keseluruhan 10 di bawah par 203.
Pemain berusia 18 tahun itu yang membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA mengetepikan tentangan sengit pemain Singapura, Marc Ong (pingat perak, 9 di bawah par) serta rakan senegara, Kammalas Namuangruk (gangsa, 8 di bawah par). 
“Saya seperti tidak percaya, ianya penampilan pertama dan saya menangi emas. Sukar untuk saya gambarkan. Saya bermula dengan agak goyah dua kali bogey di lubang pertama dan ketiga. Tetapi saya bangkit, dan kekalkan momentum. 
“Saya tidak nafikan memang saingan di sembilan lubang terakhir itu cukup mendebarkan, birdie di lubang 16 itu merubah keputusan kerana Marc membuat bogey di situ. Saya agak gementar tetapi gembira kerana berjaya menyudahkan tanggungjawab dengan emas,” kata Hamamoto. 
Bagi Marc, dia tidak langsung kecewa meskipun gagal menoktahkan penantian 28 tahun Singapura untuk memenangi emas golf di pentas Sukan SEA sejak kali terakhir dimenangi oleh Samson  Gimson pada edisi Kuala Lumpur 1989. 
Dalam saingan individu wanita, ianya bukan kejutan untuk menyaksikan kemenangan buat pemain sensasi berusia 14 tahun, Atthaya yang nyata terlalu unggul buat pencabarnya. 
Atthaya melakukan catatan lapan di bawah par 63 pada hari terakhir dan memenangi emas dengan catatan keseluruhan 14 di bawah par 199. 
Ianya adalah kejuaraan keempat buat Atthaya bagi tahun ini.  
Pingat perak dimenangi rakan senegaranya, Thitapa Pakdeesettakul dengan catatan keseluruhan 206 pukulan manakala gangsa menjadi milik pemain Filipina, Go Lois Kaye Lo. 
“Ini adalah kemenangan buat seluruh rakyat Thailand yang mendoakan saya, saya cukup teruja. Pendekatan saya mudah, saya turun dengan bersahaja dan tanpa tekanan. Tidak mempedulikan apa-apa dan hanya menikmati permainan,” ujar pemain itu yang menjadikan ‘seniornya’ yang juga pemain nombor tiga dunia,  Ariya Jutanugarn sebagai idola. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -