Final Liga KPM B-14 : Pertembungan dua wakil SSMP ibarat buku bertemu ruas

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/09/final-liga-kpm-b-14-pertembungan-dua-wakil-ssmp-ibarat-buku-bertemu-ruas">
Twitter
Pinterest

 

Pertembungan dua pasukan dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) – SSMP ‘A’ dan SSMP ‘B’ B-14 dalam aksi final 100PLUS Piala Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di Stadium Mini Kejora Bandar Penawar pada Sabtu ini boleh diibaratkan sebagai buku bertemu ruas.

Demikian pendapat jurulatih SSMP ‘A’, Effendi Malek yang menyifatkan dua pasukan ‘adik-beradik’ itu mempunyai kualiti dan karakter setanding justeru tidak ada pasukan boleh dilabel sebagai pilihan mahupun ‘underdog’.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, “Bagi saya, final ini cukup istimewa kerana ia menemukan dua pasukan dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Kedua-dua pasukan ini mempunyai DNA yang sama, tiada lebih dan tiada kurang.

“Kita ada kesemua 47 pemain (pasukan A dan B) dan mereka berlatih bersama, apa yang diajar kepada skuad A itulah diajar kepada B. Jadi tiada beza siapa lebih kuat, siapa pilihan, ia sepenuhnya bergantung kepada apa yang diterjemahkan pemain di atas padang pada hari perlawanan.

“Saya percaya ia akan menjadi final yang sengit kerana pemain dari kedua-dua pasukan akan tampil mempamer prestasi terbaik. Ini peluang dan pentas terbaik buat mereka menyerlahkan potensi dan kredibiliti dengan memanfaatkan segala pendedahan dan ilmu bolasepak yang telah mereka pelajari.” 

Untuk rekod, SSMP ‘A’ mengharungi saingan Liga KPM tahun ini cukup cemerlang dengan mengungguli saingan Liga Super tanpa tewas – mencatat sembilan kemenangan dan satu keputusan seri sebelum menyingkirkan Sekolah Sukan Negeri Kedah, SMK Tunku Anum di separuh akhir dengan agregat 5-1.

Manakala SSMP ‘B’ pula mengungguli saingan Liga Perdana dengan enam kemenangan, tiga seri dan sekali tewas. Di separuh akhir, mereka menewaskan satu lagi pasukan pilihan, SSN Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian dengan agregat 6-1.

Bagi jurulatih SSMP ‘B’, Armi Shariff, beliau senada dengan Effendi bahawa kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang namun dalam masa sama menuntut barisan pemainnya  memperlihatkan permainan yang lebih baik berbanding separuh akhir tempoh hari.

“Bagi saya, separuh akhir tempoh hari kita belum di tahap prestasi terbaik walaupun menang besar. Saya dapati masih ada beberapa kelemahan dan telah menggunakan tempoh seminggu ini untuk memperbaikinya. Saya percaya pemain-pemain bertambah baik dari semasa ke semasa dan kualiti serta tahap sebenar permainan mereka akan terlihat pada final nanti,” kata Armi.  

Kejuaraan Piala Liga KPM B-14 pada musim lalu menjadi milik Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail yang menewaskan SSN Selangor, SMK Seksyen 11 dalam aksi final di Stadium Mini SSM Tunku Mahkota Ismail.     

Please follow and like us:
0