Don't Miss

Kapten Atwal umumkan pemain muda dinamik untuk Piala EurAsia

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/11/kapten-atwal-umumkan-pemain-muda-dinamik-untuk-piala-eurasia">
Twitter
Pinterest

Kapten Pasukan Asia Arjun Atwal telah mengumumkan senarai yang rata ratanya merupakan pemain pemain muda termasuklah pendahulu Order of Merit Jelajah Asia, Gavin Kyle Green, serta Kiradech Aphibarnrat, S.S.P Chawrasia dan Li Hao-Tong yang dilihat berbakat besar untuk mewakili pasukan Asia bagi mengharungi Piala EurAsia anjuran DRB-HICOM.

Dua pemain Thailand, Phachara Khongwatmai dan Poom Saksansin, Chawrasia dari India serta Gavin Kyle Green dari Malaysia merupakan empat pemain terbaik Asia dalam kedudukan Order of Merit sekaligus layak beraksi bagi pasukan Asia di kejohanan dwitahunan yang akan berlangsung di Glenmarie Golf and Country Club bermula dari 12 hingga 14 Januari, 2018.

Turut disenaraikan, Yuta Ikeda dari Jepun, yang menduduki tangga ke-37 di ranking Golf Dunia (OWGR), Li dari negara China, pemain ranking teratas Jelajah Asia 2015, Anirban Lahiri dari India, dan Kiradech dari Thailand antara yang disenaraikan di dalam pasukan Asia susulan kedudukan mereka di dalam ranking dunia.

Sementara pemain Korea Selatan, An Byeonghun, yang mewakili pasukan Asia ketika edisi kedua pada 2016, dipilih oleh Kapten beserta Hideto Tanihara dari Jepun, yang bakal membuat penampilan ketiga di kejohanan ini, dan turut dipilih, Sunghoon Kang dari Korea Selatan, dan Nicholas Fung dari Malaysia.

Gabungan pemain pasukan Asia mempunyai jumlah gabungan 58 trofi yang dimenangi di serata dunia sementara enam daripada 12 pemain berusia lingkungan 20-an.

Phachara adalah yang paling muda (18 tahun) dan Tanihara merupakan pemain paling tua (39 tahun).  

“Saya berbangga untuk mengumumkan pasukan saya dimana kebanyakannya adalah  pemain muda. Majoritinya berusia 20-an tetapi mereka telah mencapai kejayaan besar di usia muda dan konsisten dalam permainan, “kata Atwal.  

“Tujuh pemain dalam pasukan saya berada di ranking teratas di Ranking Golf Dunia dan ini menunjukkan kekuatan Pasukan Asia. Ini adalah pasukan yang terbaik dan matlamat kami untuk memenangi Piala Eurasia. ”  

“Kami akan berdepan Pasukan Eropah yang menurunkan barisan pemain yang hebat tetapi saya menaruh kepercayaan kepada setiap ahli dalam pasukan. Saya telah merangka perancangan untuk memastikan para pemain bermotivasi dan bersiap sedia untuk mengharung kejohanan, “kata Atwal.  

Gavin Kyle Green yang berusia 23 tahun akan mewakili Pasukan Asia buat pertama kali selepas mengharungi 2017 dengan cemerlang di mana beliau memenangi gelaran pertama dalam Jelajah Asia dan menduduki tempat kedua sebanyak tiga kali.  

“Bermain di depan penyokong sendiri adalah perkara yang hebat. Piala EurAsia adalah kejohanan yang besar dan ia adalah permainan yang berbeza berbanding dengan stroke-play.

“Kejohanan ini adalah acara berpasukan dan pemain perlu bermain sebagai satu keluarga yang besar. Saya harap ramai peminat di Malaysia datang dan memberi sokongan kepada Pasukan Asia, “kata Green.  

Li dari China juga akan membuat penampilan sulungnya di kejohanan berpasukan, yang digelar ‘Ryder Cup of the East’. Beliau merupakan pemain yang sangat berbakat dan berjaya meraih trofi sulung di Jelajah Eropah dan kini menduduki ranking ke-57 dunia susulan kejayaan menduduki tempat ketiga di Kejuaraan The Open 2017 pada Julai lalu.

Ikeda, merupakan pemain yang mempunyai ranking tertinggi di dalam pasukan Asia, telah mengharungi musim yang luar biasa di Jepun di mana beliau memenangi tiga trofi di Jepun.

Manakala Kiradech juga mempamer aksi cemerlang sepanjang 2017 di mana beliau menamatkan saingan dikedudukan kedua Jelajah Eropah, di Kejuaraan Jelajah Dunia DP dan Terbuka Itali.  

Atwal juga akan memerlukan pengalaman rakan senegara Anibal Lahiri, yang telahpun mewakili pasukan Asia di dua edisi terakhir dan Chawrasia pula berjaya mempertahankan trofi Terbuka India awal tahun ini.

“Pengetahuan bermain dalam perlawanan berpasukan adalah penting dan pengalaman pemain pemain seperti Lahiri, Chawrasia, An dan Kiradech akan menjadi sangat penting dalam pasukan. Ini adalah campuran pemain yang berpengalaman dan baru yang berpotensi besar, “kata Atwal.  

Poom layak untuk bersama pasukan melalui Order of Merit Jelajah Asia terima kasih kepada satu kemenangan dan naib juara di Jepun.

Phachara pula menduduki tempat kedua sebanyak dua kali sepanjang 2017, adalah satu lagi penambahan baru untuk pasukan bersama Kang, yang turut menduduki tempat kedua sebanyak dua kali di Amerika Syarikat tahun ini.  

Pemain China, Zhang Lian-wei dipilih sebagai Naib Kapten oleh Atwal untuk membantunya memimpin pasukan Asia ketika menentang Pasukan Eropah yang diketuai Thomas Bjorn.

Piala EurAsia akan menampilkan 24 perlawanan, dimana hari pertama akan berlangsung enam perlawanan format Fourball, diikuti dengan enam perlawanan format Foursomes dan 12 perlawanan Singles pada hari ketiga.  

Pasukan Eropah akan menampilkan Rafa Cabrera-Bello, Paul Casey, Paul Dunne, Ross Fisher, Matt Fitzpatrick, Tommy Fleetwood, Tyrrell Hatton, Alex Levy, Alex Noren, Thomas Pieters, Henrik Stenson dan Bernd Wiesberger.

Please follow and like us:
0