Pasukan berstatus benua yang berpengkalan di pantai timur Malaysia, Terengganu Cycling (TSG) dijangka ‘kehilangan’ dua pelumba senior mereka tahun depan.

Pakar pecut kelahiran Kuala Ibai, Anuar Manan tidak disenaraikan dalam skuad TSG bagi musim 2018 selepas kontraknya bersama pasukan itu tidak disambung.

Jelas pelumba berusia 31 tahun itu, kontak lanjutan tidak ditawarkan kepadanya manakala pelumba pelumba lain sudahpun menandatangani kontrak baru.

Anuar Manan merupakan 13 pelumba pertama yang menyertai TSG pada 2011 selain Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Saufi Mat Senan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Mohd Hariff Saleh.

Sebelum menyertai TSG pada 2011, Anuar Manan menyertai Le Tua Cycling (2007 – 2008), Azad University Iran (2009) dan Geumsan Ginseng Asian (2010).

TSG juga bakal kehilangan seorang lagi pelumba, Mohd Adiq Hussaini Othman yang memilih untuk berhijrah.

“Pengumuman akan dibuat pada bulan depan selepas tamat perlumbaan terakhir saya bersama TSG di China untuk edisi 2018,”kata Adiq.

Sebelum berkayuh untuk TSG pada 2014, Adiq memulakan karier profesionalnya di Australia apabila menyertai Drapac Porsche Cycling pada 2010-2011 sebelum dipikat Champion System setahun kemudian.

Pencapaian Adiq bersama TSG merangkul jersi putih selaku pelumba terbaik Asia di Le Tour de Langkawi 2016.

Malah, Adiq pernah menaiki podium di saingan LTdL 2015 apabila menamatkan perlumbaan dikedudukan ketiga diperingkat keempat.OLEH KU MOHD LUFTI 

 

- Advertisement -