Don't Miss

‘Professor’ bertahan tidak sampai tujuh bulan

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/12/professor-bertahan-tidak-sampai-tujuh-bulan">
Twitter
Pinterest

Belumpun genap tujuh bulan membimbing pasukan bolasepak kebangsaan, Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada (Nelo Vingada) membuat keputusan melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuatkuasa serta merta.

Vingada membuat keputusan mengejut itu atas rasa tanggungjawab terhadap prestasi buruk pasukan kebangsaan yang gagal memenangi walau satu daripada tujuh perlawanan di bawah kendaliannya.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Tunku Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan beliau menerima keputusan yang saya buat ini. Saya ingin memaklumkan juga dua pembantu yang saya bawa bersama iaitu Joao Arnaldo Correia dan Francisco Jose Bruto da Costa turut melepaskan jawatan mereka,” kata Vingada.  

Vingada dilantik sebagai jurulatih kebangsaan pada bulan Mei lalu sebagai pengganti kepada Dato’ Ong Kim Swee. Dia yang dikenali sebagai ‘The Professor’ hadir ke Malaysia dengan reputasi tinggi dan pengalaman luas hampir 30 tahun.

Vingada memulakan kerjaya sebagai pembantu kepada Carlos Queiroz untuk skuad B-20 Portugal yang muncul juara Piala Dunia Remaja pada 1989 dan 1991 sebelum kemudiannya mengambil alih peranan selaku ketua jurulatih pasukan itu, meneruskan kesinambungan kejayaan barisan remaja dengan membantu kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia 1995 dan Sukan Olimpik 1996.

Vingada turut berpengalaman membimbing skuad kebangsaan Arab Saudi yang layak ke Piala Dunia 1998, skuad kebangsaan Jordan (2007-2009), skuad olimpik Iran (2014) selain mengendalikan beberapa pasukan kelab terkemuka Afrika dan Asia seperti Zamalek SC, FC Seoul dan Persepolis FC.

Kehadirannya ke Malaysia adalah pada waktu yang salah, ketika tekanan sedang memuncak di mana dia perlu membawa skuad kebangsaan yang bergelut dengan prestasi layak secara merit ke Piala Asia 2019.

Perlawanan pertama Harimau Malaya di bawah bimbingannya adalah menentang Lubnan dalam aksi pembukaan Kumpulan B kelayakan Piala Asia yang menyaksikan pasukan negara tewas 1-2, manakala dua aksi terakhir di bawah kendaliannya adalah menentang Korea Utara di Buriram, Thailand – Malaysia tewas kedua-dua perlawanan dengan keputusan 1-4.

Ranking negara juga menjunam ke kedudukan 174 dunia dan ia membawa kepada kritikan hebat terhadap reputasinya namun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail sebelum ini mempertahankan Vingada dengan berkata peluang perlu diberi kepadanya untuk membentuk sebuah skuad kompetitif dan meminta penyokong agar tidak mengharapkan magis dari pengendali berusia 64 tahun itu.

Pengunduran Vingada bagaimanapun diyakini tidak akan menjejaskan skuad kebangsaan memandangkan tiada sebarang aksi dalam tempoh terdekat dengan aksi terakhir pusingan kelayakan menentang Lubnan pula hanya akan berlangsung Mac 2018. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0