Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak menolak jika pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan penyokong setia Lang Merah mahu beliau memimpin selaku presiden KFA.

Bukan jawatan yang menjadi keutamaan Mukhriz tetapi mahu mengembalikan kegemilangan bolasepak di negeri itu.

Namun, beliau menyatakan ia bergantung kepada sejauh mana keperluannya samada perlu untuk berada di dalam pengurusan KFA atau membantu dari luar sahaja.

Malah Mukhriz sedar akan penglibatan golongan politik dalam bolasepak Kedah menjadi salah satu faktor kepada kejatuhan skuad merah kuning sebelum ini.

Mukhriz dilantik sebagai Presiden KFA pada Julai 2013, menggantikan bekas Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak atas masalah kesihatan.

Beliau melepaskan jawatannya pada Februari 2016 selepas turut meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ketika itu.

Setiausaha Agung KFA, Datuk Aminuddin Mohd Amin sebelum ini dikhabarkan bakal menyerahkan surat perletakkan jawatannya dalam masa terdekat.

Tindakan itu juga bakal dilakukan Presiden ketika ini yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang akan melepaskan jawatannya dalam masa terdekat.

- Advertisement -