Setiasuaha Agung baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam akan memastikan pelan jangka panjang Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan dilaksana dengan sebaiknya.

Baginya kini bukan lagi masa untuk bercerita panjang, sebaliknya semua pihak perlu melihat pelan yang dibentang oleh Datuk Hamidin perlu dijadikan realiti.

“Daripada 30 manifesto yang dibentang Presiden baru, salah satunya adalah hala tuju pengurusan dalaman.

“Malah, perancangan untuk jangka panjang 3 tahun perlu dilaksanakan dimana tumpuan terarah kepada mengubah budaya pengurusan ini,”kata Stuart.

Beliau sebelum ini pernah berada didalam barisan kepimpinan FAM sekitar empat tahun lalu memahami persekitaran dalam FAM, namun beliau tidak menolak memerlukan tempoh untuk pengubahsuaian kerana ramai yang mengharapkan perubahan dalam badan induk bolasepak negara itu.

Justeru, Stuart telah menyediakan tiga hala tuju untuk merealisasikan matlamat yang telah diletakkan oleh Datuk Hamidin.

“Kami perlu memperkasakan ahli ahli gabungan dalam FAM termasuk persatuan pwersatuan negeri kerana jika mereka semakin kuat, FAM juga semakin kukuh.

“Pembangunan terhadap peringkat akar umbi perlu diambil kira dan bukan hanya skuad kebangsaan semata mata,”katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yang sebelum ini bertugas di syarikat pemasaran milik syarikat yang berpengkalan di Jepun tidak menolak untuk memanfaatkan mana mana program yang difikirkan sesuai yang diterapkan oleh Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) ke dalam program pembangunan FAM.

Pelantikan Stuart dibuat berdasarkan Artikel 61 Perenggan 1 dalam Statut FAM yang menyatakan bahawa jawatan berkenaan hendaklah dilantik oleh presiden.

Sebelum menyertai Dentsu Sports Asia, Stuart, 41, dilantik oleh FIFA sebagai ‘Konsultan Profesionalisasi’ pada 2008 yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli gabungan FIFA dalam mewujudkan liga baharu.

Bidang tugasnya itu turut membabitkan mengemaskini pentadbiran persatuan ahli gabungan serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).

Selepas empat tahun, Stuart kemudian dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Liga Super Malaysia (MSL) pada 2010 dan diberi mandat untuk merencanakan struktur FAM serta juga aspek komersial persatuan berkenaan.

Pada 2012, Stuart menyertai AFC dan memegang pelbagai jawatan pengarah di sana termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC termasuklah Liga Juara Juara Asia (ACL), Piala AFC, Kejohanan Futsal AFC, Pengarah Pemasaran dan Pengarah Tanggungjawab Sosial.

Selepas berkhidmat di pelbagai tahap organisasi bola sepak, Stuart kemudiannya menjadi konsultan kepada dua agensi sukan terbesar di dunia, Dentsu Sports dan IMG pada 2014.

Di Dentsu Sports, Stuart dilantik menduduki jawatan naib presiden selama empat tahun sehingga tahun 2018 dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

- Advertisement -