Kejayaan membenam Kedah 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan C menyuntik keyakinan di kem Sarawak betapa mereka boleh mengulangi pencapaian memenangi pingat gangsa pada edisi 2011.

Malah bintang muda berusia 18 tahun, Iskandar Harun berpendapat seandainya semangat dan kesungguhan ketika tewaskan Kedah itu dapat dikekalkan, pencapaian yang lebih baik boleh dibawa pulang oleh sang bujang senang.

“Sebenarnya kita datang ke sini tiada tekanan, sasaran awal adalah melepasi halangan kumpulan tetapi saya percaya kita boleh lakukan lebih baik daripada itu. Kita telah menunjukkan kekuatan mental yang cukup baik dan sikap tidak berputus asa sehingga wisel penamat untuk memastikan tiga mata.

“Kalau kita kekal konsisten tidak mustahil kita boleh cipta kejutan dengan cuba mengintai tempat di separuh akhir dan memenangi pingat,” ujar pelatih skuad kebangsaan itu.

Dalam aksi berlangsung di Arena Sukan Tertutup Manjung Ahad lalu, Sarawak bimbingan Ahmad Media Sharkawi membenarkan Kedah bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 2-2 tetapi mereka mengesahkan tiga mata dua minit sebelum tamat permainan menerusi Mohammad Azierul Joss yang melengkapkan hatriknya.

Iskandar yang juga satu-satunya pemain Sarawak didedahkan dengan aksi Liga Futsal Kebangsaan bersama Kuantan Rangers FC berkata mereka kini perlu mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan untuk laluan lebih mudah di peringkat suku akhir.

“Kita sudah ada kelebihan awal tetapi belum boleh rasa selesa. Kemenangan ke atas Melaka pada Rabu ini adalah cukup penting dan saya berharap kami semua akan kekal fokus dan dapat beraksi lebih baik berbanding menentang Kedah.

“Sudah tentunya ia bukan perlawanan mudah kerana Melaka skuad berkualiti dan juga antara pasukan pilihan, mereka juga belum bermain jadi mereka ada lelebihan, mereka sudah tahu cara kita bermain dan kita perlu perbaiki segala kelemahan dan kesilapan,” kata Iskandar.

Sebagai rekod, Sarawak memenangi pingat gangsa ketika futsal pertama kali dipertandingkan di SUKMA 2011 tetapi pada 2013 mereka gagal melepasi halangan peringkat kumpulan setelah kecundang kepada Terengganu dan Kedah. MUHD AIMAN 

- Advertisement -