Foto – MSN

 

 

Hampir dua minggu selepas tamat temasya Sukan Asia 2018, Kementerian Belia dan Sukan masih belum melakukan sebarang keputusan berhubung masa Program Podium dan bedah siasat (post mortem) melibatkan semua pemegang taruh termasuk persatuan sukan di Malaysia.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih menanti laporan lengkap post mortem ermula hari ini selama dua hari sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut.

Ia termasuk individu yang akan mengisi jawatan tertinggi dalam Program Podium yang dilabel sebagai gagal meskipun telah membelanjakan RM67 juta bagi kegunaan atlet dan jurulatih, latihan dan pertandingan termasuk elaun dalam tempoh dua tahun.

Program ini yang dilancarkan pada 2016, disasarkan untuk meletakkan Malaysia berada dalam kelompok 10 teratas di dua temasya besar, Sukan Asia dan Sukan Komanwel selain perancangan jangka panjang, untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Pada Sukan Komanwel Gold Coast April lalu, Malaysia menamatkan kempen di kedudukan ke-12 selepas sekadar meraih tujuh pingat emas manakala pada Sukan Asia pada bulan lepas, kontinjen negara berada di tangga ke-14 juga dengan kutipan tujuh pingat emas.

Selepas tamat bengkel post mortem, berapa lama lagi tempoh yang diperlukan oleh KBS, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta persatuan persatuan sukan khususnya untuk mewujudkan laporan lengkap post mortem Sukan Asia?

Atlet negara hanya mempunyai masa tempoh kurang dua tahun untuk melakukan persiapan bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

KBS menjadikan Sukan Malaysia (SUKMA) yang sedang berlangsung di seluruh negeri Perak serta Para Asia sebagai ‘halangan’ utama perjumpaan dengan persatuan persatuan sukan.

Syed Saddiq menjelaskan, beliau menanti jawapan daripada Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria untuk mendapatkan tarikh bagi mengadakan perjumpaan dengan persatuan persatuan sukan.

Antara fokus perjumpaan KBS dengan persatuan sukan untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah kewangan yang sentiasa berlaku.

Samada Syed Saddiq sedia maklum atau tidak, sukan sukan selain bolasepak (FAM), badminton (BAM), hoki (KHM), skuash (SRAM), atau berbasikal trek atau boling sebagai contoh, persatuan persatuan lain tampak hanya berpeluk tubuh tanpa usaha untuk memikat syarikat swasta menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

Malah, ada tidak segan silu menjadikan atlet mereka sebagai kambing hitam untuk mencari penaja semata mata untuk memenuhkan poket sendiri.

Isu masalah kewangan melibatkan persatuan bukan perkara baru, malah sering kali diingatkan untuk mencari peruntukkan sendiri dan tidak terlalu mengharapkan dana daripada kerajaan semata mata.

 

 

- Advertisement -