Perak Bison dan Selangor Pistons kedua-duanya menempuh saat cemas sebelum berjaya mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam aksi hari kelima Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 di Gem In Mall, di sini.

Perak Bison yang menurunkan trio Yus Hanif Rosli-Azwan Muhrim-Fadzil Mustapha pada satu ketika dilihat menuju kemenangan mudah ke atas Terengganu Turtles apabila menang set pertama 21-16 dan mendahului 20-16 di set kedua.

Namun mata akhir yang dicari tidak kunjung tiba sebaliknya Terengganu Turtles yang membariskan Safarudin Abu Bakar-Irsyad Faiz Aziz-Fadzli Roslan mengutip lima mata berturut-turut untuk mendahului 21-20 sebelum menamatkan set kedua dengan kemenangan dramatik 25-23.

Perak Bison bagaimanapun mengungguli set penentuan dengan kemenangan 21-15.

“Memang sebolehnya kami mahu menang straight set tetapi sedikit kelekaan pada saat akhir menghukum kami, Terengganu juga banyak melengahkan masa yang sedikit sebanyak menganggu tumpuan tetapi kami perbaiki pertahanan dan bermain lebih baik di set ketiga,” kata Yus Hanif yang mengisi posisi tekong ekoran ketiadaan Meor Zulfikar Mat Amin yang mengalami kecederaan.

Sementara itu, Selangor Pistons bangkit daripada tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini untuk melakar kemenangan sulung dengan menewaskan Melaka Titans straight set 2-0 (21-16, 25-24).

Perlawanan seolah-olah akan menuju ke set penentuan apabila Melaka Titans mendahului selesa di set kedua termasuk beberapa kali memegang mata akhir namun Pistons bangkit mengikat kedudukan 20-20.

Aksi berbalas mata antara kedua-dua pasukan menyaksikan kesilapan tekong Melaka Titans, Shahidan Ali yang melakukan servis kandas di jaring akhirnya membuatkan pasukannya berputih mata.

Dalam dua aksi yang berlangsung lebih awal ATM Guardians mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Johor Tigris 2-0 (21-18, 21-17) manakala KL Thunder pula melebarkan rekod kemenangan kepada empat perlawanan berturut-turut dengan menewaskan PDRM Defenders 2-0 (21-16, 21-15). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Keputusan (13 Oktober) :

ATM Guardians mng Johor Tigris [2-0 : 21-18, 21-17]

KL Thunder mng PDRM Defenders [2-0 : 21-16, 21-15]

Perak Bison mng Terengganu Turtles [2-1 : 21-16, 23-25, 21-15]

Selangor Pistons mng Melaka Titans [2-0 : 21-16, 25-24]

- Advertisement -