Sejak dari sebelum bermulanya saingan Piala AFF Suzuki 2018, nama Akram Mahinan menjadi cukup popular di kalangan penyokong – bukan disebabkan kredibilitinya tetapi ramai yang mempertikai pemilihannya dengan rata-rata berpendapat dia tidak cukup bagus untuk menyarung jersi negara.

Sumbangan dan peranan penting dimainkannya dipandang sepi, malahan di sebalik aksi dominan di posisi tengah bertahan selain statistik rasmi dari Opta yang menunjukkan pemain Kedah itu sebagai pemain dengan hantaran terbaik dalam Piala AFF Suzuki kali ini, dia masih menjadi antara sasaran kritikan tetap para penyokong.

Apa sekalipun tanggapan penyokong, bukan mudah untuk mengikis kepercayaan Tan Cheng Hoe terhadap pemain berusia 25 tahun itu yang jelas cukup gembira dengan sumbangannya.

Dan menjelang aksi separuh akhir dua pusingan menentang Thailand bermula Sabtu ini, Akram dijangka memainkan peranan lebih besar dalam mematahkan jentera serangan skuad juara bertahan itu yang hadir ke Bukit Jalil untuk aksi pertama dengan rekod gah menjaringkan 15 gol dalam empat perlawanan peringkat kumpulan.

Akram telah diturunkan dalam kesemua empat perlawanan dan dalam tiga daripadanya telah digandingkan dengan seorang lagi pemain tengah bertahan Syamer Kutty Abba.

“Masing-masing melengkapi satu sama lain dan tahu peranan mereka. Belum sampai ke tahap sempurna tetapi ketika menentang Myanmar mereka memberi keseimbangan kepada pertahanan dan serangan.

“Mereka mengurangkan kesilapan, tidak nampak tertekan, menjadikan ianya sukar buat Myanmar untuk masuk ke kawasan bahaya, membuatkan pemain lawan menjadi buntu dan saya mahu ianya diteruskan apabila menentang Thailand.

“Sudah tentu Myanmar dan Thailand pendekatan mereka adalah jauh berbeza, Thailand lebih kreatif dan berbahaya terutama menerusi Adisak (Kraisorn) dan Sanrawat (Dechmitr) malah melihat kepada rekod baik barisan serangan Thailand setakat ini, efisiensi dan konsistensi Akram serta Syamer akan menjadi kunci utama.

“Kita harap mereka (jika diturunkan) akan dapat menunjukkan disiplin permainan yang tinggi untuk mengunci, menyekat pemain tengah dan penyerang Thailand dari bergerak bebas,” ujar Cheng Hoe yang menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010 selaku penolong jurulatih kepada Datuk K.Rajagobal.

Tambah Cheng Hoe lagi, “Saya juga akan cuba menambah baik beberapa kelemahan di posisi pertahanan, kita tahu Aidil Zafuan (Abd Radzak) dan Shahrul (Saad) juga telah membentuk gandingan cemerlang walaupun baru digandingkan jadi apa yang dituntut ketika ini adalah supaya mereka kekal fokus.”

Sebagai rekod, sepanjang aksi peringkat kumpulan, Harimau Malaya melakar tiga kemenangan dan tewas sekali kepada Vietnam – mereka mengesahkan tiket di separuh akhir menerusi kemenangan 3-0 ke atas Myanmar pada Sabtu lalu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN  

- Advertisement -